Jokowi isytihar tamat larangan eksport minyak sawit Indonesia mulai Isnin | DagangNews Skip to main content

Jokowi isytihar tamat larangan eksport minyak sawit Indonesia mulai Isnin

Presiden Joko Widodo pada Khamis berkata bekalan minyak masak pukal kini telah mencapai tahap lebih tinggi daripada keperluan, walaupun harga pukal masih belum surut kepada sasaran 14,000 rupiah seliter.

JAKARTA 20 Mei - Indonesia akan menarik balik larangan eksport minyak sawitnya sejak tiga minggu lalu, mulai Isnin ini berikutan penambahbaikan dalam bekalan minyak masak domestiknya, kata presidennya, satu langkah yang disambut baik oleh petani di tengah-tengah desakan yang semakin meningkat supaya larangan itu dihentikan.

 

Pengeksport minyak sawit terbesar di dunia itu pada 28 April lepas, telah menghentikan penghantaran minyak sawit mentah dan beberapa produk derivatif untuk cuba mengekang kenaikan harga minyak masak domestik yang melambung tinggi, tindakan yang mengejutkan pasaran yang sudah pun bergelut dengan langkah campur tangan kerajaan sebelum ini.

 

Presiden Joko Widodo pada Khamis berkata bekalan minyak masak pukal kini telah mencapai tahap lebih tinggi daripada keperluan, walaupun harga pukal masih belum surut kepada sasaran 14,000 rupiah seliter.

 

“Di beberapa wilayah saya tahu harga minyak masak masih agak tinggi, tetapi saya percaya dalam beberapa minggu akan datang ia akan lebih berpatutan,” kata Jokowi, nama mesra beliau dalam kalangan rakyat republik itu, dalam satu kenyataan video.

 

Kumpulan industri telah memberi amaran bahawa sektor minyak sawit boleh terhenti dalam beberapa minggu akan datang jika larangan eksport kekal dilaksanakan.

 

Dalam mengambil keputusan itu, kerajaan sedang mempertimbangkan kebajikan 17 juta pekerja, katanya.

 

“Walaupun eksport dibuka semula, kerajaan akan terus menyelia dan memantau (pasaran) dengan rapi bagi memastikan permintaan dipenuhi dengan harga mampu milik,” tambah Jokowi.

 

Ahli-ahli Parlimen dalam jawatankuasa bajet sebelum ini menggesa Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati meminta kerajaan menilai semula sekatan eksport.

 

Larangan itu dibuat ketika pasaran minyak sayuran global sedang bergelut akibat tekanan bekalan minyak bunga matahari kesan akibat perang di Ukraine.

 

Minyak sawit merangkumi satu pertiga daripada pasaran minyak sayuran dunia, dengan Indonesia menyumbang kira-kira 60% daripada bekalan.

 

Walaupun mengenakan larangan untuk menangani rasa tidak puas hati domestik terhadap minyak masak, tekanan telah meningkat untuk menamatkannya apabila petani Indonesia menyaksikan permintaan susut untuk buah sawit mereka.

 

Petani awal minggu ini mengadakan perhimpunan memprotes berhubung larangan eksport kerana harga buah sawit menjunam di seluruh negara. 

 

Mengulas pengumuman Jokowi tersebut, kesatuan peladang kelapa sawit SPKS berkata mereka berharap aktiviti perladangan akan "kembali normal dan keadaan ekonomi petani akan bertambah baik".

 

Indonesia mempunyai kira-kira 6 juta tan kapasiti penyimpanan, termasuk di pelabuhan, dan stok domestik telah mencapai kira-kira 5.8 juta tan pada awal Mei, kata Sahat Sinaga, pengarah eksekutif Persatuan Industri Minyak Sayur Indonesia, kepada Reuters.

 

Syarikat perladangan besar telah mula memanjangkan selang masa menuai mereka kerana ketidaktentuan jualan untuk produk mereka, manakala petani kecil beratur berhari-hari di kilang kelapa sawit cuba menjual buah mereka.

 

"Keadaan sebenar di lapangan sangat sukar kerana tangki mula penuh," kata Eddy Martono, setiausaha agung Persatuan Minyak Sawit Indonesia.

 

“Semoga dengan pembukaan semula eksport, pengeluaran minyak sawit dapat disambung semula.”- DagangNews.com