Skip to main content

'Jom Cuti-Cuti' Malindo Air tawar baucer e-perjalanan RM50

'Jom Cuti-Cuti' Malindo Air

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Syarikat penerbangan Malindo Air melancarkan kempen "Jom Cuti-Cuti' dengan tawaran baucer e-perjalanan RM50 kepada 6,000 rakyat Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri berkata, kempen yang ditawarkan bagi perjalanan domestik itu adalah untuk menyokong Rangsangan Pelan Pemulihan yang digerakkan oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) bagi menghidupkan kembali ekonomi negara.

 

"Industri yang berkaitan dengan pelancongan terus menjadi satu sektor yang paling terjejas dilanda krisis pandemik COVID-19 dan prospek pemulihan sepenuhnya adalah tidak dapat dipastikan.

 

"Inisiatif MOTAC adalah sangat tepat pada masanya. Sementara menunggu sempadan antarabangsa dibuka semula, harapan utama kami dalam kempen ini adalah agar orang ramai dapat memulakan kembali perjalanan dengan selamat walaupun di dalam negeri," katanya dalam satu kenyataan.

 

Baucer e-perjalanan RM50 akan disediakan seperti berikut;

  • Tempoh pendaftaran baucer : 25 November 2020 hingga 15 Disember 2020
  • Tempoh perjalanan sah : 25 November hingga 31 Mac 2021
  • Penebusan baucer : Boleh dibuat melalui pautan www.malindoair.com dalam masa 14 hari dari tarikh pengeluaran baucer
  • Kelayakan : Rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan sah. Satu baucer bagi setiap kad pengenalan

 

Mengulas lanjut, Mushafiz menambah, tindakan yang diambil MOTAC itu adalah satu tindakan yang hebat dalam memulihkan semula industri berkenaan.

 

"MOTAC telah mengambil tindakan yang hebat untuk memulihkan dan mengaktifkan semula industri ini. 

 

"Kelangsungan perniagaan dalam seluruh ekosistem pelancongan dilihat berada dalam keadaan berisiko. Dengan Rangsangan Pelan Pemulihan ini, tindakan MOTAC akan memberi kesan pemulihan yang besar kepada industri," jelas beliau lagi. - DagangNews.com