Jom Transform: Inovasi perniagaan digital PKS | DagangNews Skip to main content

Jom Transform: Inovasi perniagaan digital PKS

United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. (UOB Malaysia)

KUALA LUMPUR 17 Julai - Platform digital serantau, The FinLab Online melancarkan program baharu Jom Transform bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta syarikat pemula agar lebih berinovasi dalam pernigaan secara digital.

Program itu merupakan program transformasi perniagaan pertama di Malaysia melalui kerjasama United Overseas Bank (Malaysia) Bhd. (UOB Malaysia), The FindLab serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Wong Kim Choong berkata, penampilan program Jom Transform di platform digital The FinLab Online adalah salah satu cara pihaknya membantu memudahkan PKS Malaysia untuk memacu rancangan digitalisasi.

"Memandangkan operasi semasa terjejas akibat COVID-19, sekarang adalah masa sesuai bagi syarikat perniagaan menggunakan teknologi untuk memperkasa kemahiran pekerja mereka dan mengurus operasi dengan lebih cekap.

"PKS dapat belajar cara memanfaatkan teknologi untuk transformasi digital mereka dan mengikutinya dengan selamat di kediaman mereka sendiri," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Program Jom Transform merupakan satu program transformasi perniagaan pertama di Malaysia bagi membantu PKS tempatan mendigitalisasi operasi sekali gus dapat meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan hasil.

Jom Transform
Jom Transform

 

Program itu dilancarkan bagi membantu sekurang-kurangnya 100 PKS di Malaysia bagi menerapkan digitalisasi dalam aspek peningkatan hasil, pengurangan kos perniagaan, penambaikan kitaran masa proses, pengurangan jam kerja dan penghasilan sumber pertumbuhan baharu.
 
PKS yang mengambil bahagian dalam program Jom Transform tahun ini akan mengikuti kurikulum selama sebulan di The FinLab Online.

Mereka akan dibimbing mentor industri dari UOB dan rakan ekosistem serantau menerusi bengkel dalam talian, tutorial video dan webinar di samping penasihat ruang digitalisasi oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Peserta juga diberi peluang untuk membuat penilaian sendiri bagi mengetahui keperluan teknologi mereka berdasarkan alat analisis perniagaan hak milik The Finlab.

Sementara itu, Ketua Bersama The Finlab, Pauline Sim berkata, penerapan digital memerlukan pendekatan yang disesuaikan mengikut saiz serta keperluan perniagaan agar PKS dan syarikat pemula dapat mengendalikan pertumbuhan syarikat.

"Kami juga akan berkongsi pandangan daripada pengalaman UOB sendiri dalam kejayaannya mengembangkan perniagaan di rantau ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri memberitahu, insentif dana yang diperuntukkan kepada PKS di bawah inisiatif PENJANA membuktikan penekanan kerajaan untuk menggalakkan lebih banyak perniagaan temoatan ke arah perniagaan digital.

"Perniagaan tempatan mesti bersedia untuk bertukar dan menerapkan transformasi digital. Program Jom Transform UOB Malaysia dan The FinLab adalah penting kepada misi MDEC untuk memastikan ekonomi negara mampu berdepan sebarang ketidakpastian akibat pergolakan global ketika ini.

"Sekarang adalah masa penting PKS untuk beralih kepada digital dan bukan sekadar untuk bertahan, tetapi untuk terus berkembang maju," jelasnya. - DagangNews.com