Skip to main content

'JomPAY' permudah urusan perbankan Tabung Haji

TH

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan JomPAY untuk memudahkan pemindahan dana secara dalam talian.

 

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha ke arah digitalisasi dengan menyediakan lebih banyak touchpoints untuk kemudahan para pendeposit.

 

"TH sentiasa berusaha untuk menambah baik perkhidmatan digital kepada para pendepositnya dan dengan pengenalan kemudahan JomPAY, urusan para pendeposit dapat dijalankan dengan lebih mudah. 

 

"Para pendeposit dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan/semasa bank mereka ke akaun simpanan TH melalui platform perbankan internet yang sedia ada.

 

"Tambahan pula, para pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sebanyak 28 buah bank di Malaysia menyediakan kemudahan tersebut menerusi platform perbankan internet masing-masing. 

 

Melalui JomPay, para pendeposit boleh membuat urusan pemindahan dana secara dalam talian ke dalam akaun simpanan TH pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

 

Jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan internet dan pelbagai saluran dalam talian telah meningkat kepada hampir 80% berbanding transaksi yang dilakukan di kaunter.

 

Tambah beliau, dengan kemudahan tambahan itu akan memudahkan lagi para pendeposit untuk berurusan dengan TH.

 

"JomPay Biller Code bagi simpanan TH adalah 60228 dengan 15-digit nombor Akaun Simpanan TH perlu dimasukkan sebagai Ref-1," tambah beliau lagi. - DagangNews.com