Jovian Selcare Pharmacy sasar 20 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini | DagangNews Skip to main content

Jovian Selcare Pharmacy sasar 20 cawangan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini

Datuk Jovian Mandagie (kiri) menandatangani perjanjian bersama SELGATE Healthcare Sdn. Bhd.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie melangkah setapak dengan menceburi bidang perubatan apabila melancarkan Jovian Selcare Pharmacy.

 

Farmasi tersebut merupakan penjenamaan semula Jovian Pharma dan Selcare Pharmacy hasil kerjasama dengan SELGATE Healthcare Sdn. Bhd. 

 

Penggabungan itu akan mengendalikan rangkaian farmasi, perkhidmatan kesihatan serta pembangunan produk dalam usaha mempercepatkan pertumbuhan dalam industri farmaseutikal.

 

Jovian berkata, beliau turut menyasarkan untuk membuka sebanyak 20 buah cawangan baharu di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. 

 

"Jovian Selcare Pharmacy bercita-cita untuk menjadi syarikat pilihan dalam komuniti dengan tujuan menyediakan pengalaman pelanggan penjagaan diri yang holistik melalui konsep omnichannel.

 

"Pelanggan akan dapat meraih faedah strategik dalam lawatan mereka ke kedai terdekat. Dengan e-dagang untuk industri farmaseutikal, halangan geografi bukan lagi kebolehcapaian,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, SELGATE memeterai perjanjian perkongsian strategik jangka panjang dengan Jovian Pharma Sdn. Bhd. untuk penjenamaan semula Selcare Farmasi dan Jovian Pharma.

 

Selain Jovian, majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif SELGATE Healthcare, Dr. Muaz Omar dan Pengarah Eksekutif SELGATE Healthcare, Noor Hisham Mohd Ghouth.

 

 

selgate

 

 

Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, usaha sama itu menandakan satu sejarah dan peristiwa penting SELGATE sebagai sebahagian daripada latihannya untuk membina kapasiti dan keupayaan dalam mengukuhkan kedudukan kewangannya melalui kepelbagaian operasinya.

 

“SELGATE dan Jovian tahu bahawa untuk kekal berdaya saing dalam persekitaran hari ini, penting mengambil pendekatan dan berjaya memenuhi keperluan industri penjagaan jangka panjang yang berubah dan mencabar,” katanya.

 

 

jovian
Datuk Jovian Mandagie bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza

 

 

Dr. Muaz pula berkata, Jovian Selcare Pharmacy menggabungkan bakat, pengalaman dan sumber dengan organisasi semakin berkembang untuk memenuhi keperluan jangka panjang dan kemudahan penjagaan di seluruh negara.

 

“Penggabungan ini akan dapat menghasil dan merealisasikan objektif kolektif kami membangunkan produk dan perkhidmatan yang inovatif dalam pakej lengkap dan disesuaikan dengan sentuhan tempatan sentuh,” katanya. - DagangNews.com