Skip to main content

JPJ, SPAD tawar diskaun saman 70% sepanjang Ogos

saman

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Julai - Pembayaran saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diberi tawaran diskuan 70% bermula 1 hingga 31 Ogos 2020.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, tawaran tersebut diberikan adalah bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan dan terpakai untuk kesalahan di bawah akta tertentu.

"70% diskaun itu ditawarkan berdasarkan kepada kadar kompaun semasa yang terdapat dalam sistem JPJ dan yang telah ditetapkan bagi kes-kes di bawah akta tertentu.

"Pengurangan saman ini juga dilaksanakan di semua pejabat JPJ negeri, cawangan dan Pusat Transformasi Bandar (UTC)," jelasnya dalam satu kenyataan.

Dr. Wee Ka Siong
DR. WEE KA SIONG

 

Selain lokasi tersebut, orang ramai juga boleh mendapatkan diskaun bayaran secara dalam talian melalui portal mySIKAP JPJ, kiosk JPJ dan JPJ Mobile.

Tambah Wee, tawaran itu diberikan terhadap kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (AKTA 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) termasuk kaedah-kaedah dan perintah di bawahnya.

Kes dan kesalahan yang masih dalam tindakan senarai hitam juga turut terlibat.

"Bagi kesalahan yang telah disenarai hitam, orang ramai dikehendaki hadir ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi proses dokumentasi.

"Kehadiran itu adalah perlu sebelum urusan pembayaran dilakukan," katanya. - DagangNews.com