Jual saham bukan cara hadapi cabaran ekonomi Covid-19 | DagangNews Skip to main content

Jual saham bukan cara hadapi cabaran ekonomi Covid-19

mswg

KUALA LUMPUR 25 Jun - Tindakan menjual saham untuk mendepani cabaran ekonomi akibat wabak pandemik koronavirus (Covid-19) bukan satu-satunya jalan keluar bagi pemegang-pemegang saham di negara ini. 

Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti (MSWG) berkata, sebaliknya pemegang saham mempunyai kuasa dan pengaruh untuk menyuarakan isu berkenaan sekali gus berusaha ke arah perubahan positif. 

Ketua Pegawai Eksekutif MSWG, Devaneson Evanson berkata, kewujudan syarikat-syarikat di negara ini adalah penting ketika Malaysia berdepan fasa pemulihan jangkitan Covid-19 untuk memastikan ekonomi negara lebih berdaya tahan seterusnya mampu berhadapan cabaran nilai saham yang sukar diramal. 

“Bagaimanapun, situasi itu hanya dapat dicapai sekiranya syarikat-syarikat yang terlibat berkembang maju dan berusaha melakukan yang terbaik. 

“Dalam masa yang sama, tidak dinafikan bahawa perdagangan haram dan aktiviti pemalsuan produk yang kian berleluasa merupakan sebuah kerugian buat kebanyakan syarikat, isi rumah dan negara,” ujar Evanson dalam satu kenyataan media.

Evanson dalam kenyataan sama melihat tindakan Kumpulan British American Tobacco Malaysia Bhd (BATM) yang menggesa pemegang sahamnya supaya lantang bersuara menentang akiviti perdagangan haram wajar dijadikan contoh baik. 

Selain daripada syarikat tembakau, sektor perniagaan barangan pengguna, makanan dan minuman (F&B) serta farmaseutikal juga tidak dapat ‘lari’ daripada produk palsu dan haram. 

Tegas Evanson, aktiviti itu bukan sahaja menjejaskan hasil cukai kerajaan, malah mengancam kesihatan dan nyawa pengguna produk-produk terbabit. 

“MSWG yang bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan pemegang saham minoriti menggalakkan tadbir urus yang cekap dalam kalangan syarikat awam berhad (PLC) dan menyokong hak-hak perniagaan yang sah untuk memperoleh peluang sama rata. 

“Sehubungan itu, kami berharap kerjasama antara syarikat, kerajaan dan pemegang saham dapat membantu mengubah landskap nilai saham dari semasa ke semasa,” katanya.