Jualan Bermaz dijangka meningkat 10% pada FY21 | DagangNews Skip to main content

Jualan Bermaz dijangka meningkat 10% pada FY21

Bermaz Auto Berhad (Bermaz)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Syarikat Bermaz Auto Berhad (Bermaz) selaku pengedar tunggal kereta Mazda di Malaysia dijangka mencatatkan peningkatan jumlah jualan sebanyak 10% pada tahun kewangan 2021 berbanding tahun sebelumnya.

CGS-CIMB Research berkata, jangkaan itu dinilai berdasarkan kepada pemulihan jualan di Malaysia yang meningkat 24% berbanding tahun lalu.

"Kami jangkakan jumlah jualan Bermaz meningkat 10% pada FY21 didorong oleh pemulihan jualan di Malaysia yang meningkat 24%.

"Bermaz kini mempunyai tunggakan pesanan sebanyak 2,000 unit kenderaannya yang dijangka akan dihantar dalam masa dua bulan akan datang," jelas CGS-CIMB Research.

Bermaz mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 50% pada suku pertama tahun kewangan April 2021.

Peningkatan tersebut disebabkan oleh jumlah jualan yang tinggi dari Malaysia iaitu pertambahan 68% dengan jualan hingga 2,663 unit kenderaan.

Bagaimanapun, prestasi memberangsangkan itu diimbangi oleh jualan yang lemah di Filipina yang mencatatkan penurunan jumlah jualan sebanyak 44%.

Jualan di Filipina hanya merekodkan 177 unit kenderaan berbanding 315 unit pada suku keempat tahun kewangan 2020.

Tambah CGS-CIMB Research, pihaknya juga turut mengunjurkan margin yang lebih tinggi daripada suku kedua tahun kewangan 2021 dan seterusnya.

Unjuran tersebut berdasarkan ketiadaan rebat tunai tambahan yang dicatatkan setelah pengecualian cukai jualan yang dilaksanakan pada 15 Jun lalu.

"Kami optimis bahawa tempahan tertungggak yang ada sekarang akan diterjemah kepada jumlah jualan.

"Kami mengurangkan jangkaan perolehan sesaham (EPS) syarikat berkenaan sebanyak 13% hingga 20% kerana kami mengurangkan unjuran jumlah jualan dari Filipina dan syarikat bersekutu Mazda Malaysia (MMSB) di samping mengekalkan saranan 'tambah' harga sasaran sesaham syarikat berkenaan yang lebih rendah iaitu RM1.80. - 
- DagangNews.com