Jualan dijangka lemah, perolehan FY22 Glomac diunjur 23% lebih rendah - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Jualan dijangka lemah, perolehan FY22 Glomac diunjur 23% lebih rendah - TA Securities

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Unjuran perolehan Glomac Berhad bagi tahun kewangan 2022 (FY22) diunjurkan lebih rendah sehingga 23%, ekoran penurunan ramalan jualan kumpulan bagi tempoh tersebut. 

 

Menurut penganalisis di TA Securities, Thiam Chiann Wen, ramalan hasil dan margin bagi projek semasa kumpulan juga disemak semula ekoran prestasi kewangan pada suku pertama FY22 (1QFY22) yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

“Kami juga menurunkan ramalan jualan pada FY22, FY23 dan FY24, sebanyak 20%, 9% dan 5%, masing-masing kepada RM200 juta, RM300 juta dan RM400 juta selepas menyemak semula jangka masa pelancaran baharu.

 

“Glomac hanya meraih jualan baharu sebanyak RM30 juta pada 1QFY22 memandangkan tiada projek baharu dilancarkan pada suku tahun tersebut.

 

“Susulan kerja siap yang terhad pada 1QFY22, jualan yang belum dibilkan oleh kumpulan pada dasarnya tidak berubah, bernilai RM580 juta. Ini dijangka menampung perolehan untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang,” jelas Chiann Wen dalam satu nota penyelidikan.

 

Glomac mencatatkan hasil berjumlah RM28.8 juta bagi suku tahun berakhir 30 April 2022, menyusut lebih 38% daripada RM46.87 juta yang dicatat tempoh sama pada tahun lalu.

 

Baca : Keputusan kewangan Glomac terjejas teruk akibat PKP COVID-19

 

Walaupun kelemahan prestasi perolehannya dijangka berterusan memasuki 2QFY22, namun ujar Chiann Wen, kumpulan dipercayai berprestasi lebih baik pada tempoh separuh kedua FY22 (2HFY22). 

 

Ini memandangkan Glomac baru sahaja membuka semula operasi penuh selepas sekatan ekonomi dilonggarkan, di mana membolehkan aktiviti pembinaan dan galeri jualan dibuka. 

 

Selepas semakan semula dibuat ke atas unjuran kewangan kumpulan, TA Securities menurunkan harga sasaran (TP) saham Glomac kepada RM0.44 daripada RM0.45.

 

“Kami sukakan strategi Glomac, di mana menumpukan kepada segmen perumahan bertanah mampu milik, jualan belum dibilkan yang kukuh sebanyak RM580 juta untuk menampung perolehan jangka pendek selain kunci kira-kira yang sihat untuk menyediakan kecairan bagi aktiviti pembangunan semasa dan akan datang. Penarafan ‘beli’ dikekalkan,” tambah Chiann Wen. - DagangNews.com