Jualan hartanah dijangka meningkat hingga 30% tahun ini | DagangNews Skip to main content

Jualan hartanah dijangka meningkat hingga 30% tahun ini

Hartanah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 April - Sektor hartanah dilihat mempunyai potensi jualan yang tinggi dan lebih besar pada separuh kedua 2021 (2H21).

 

RHB Research berkata, pihaknya percaya sektor berkenaan secara beransur-ansur akan pulih seiring dengan pemulihan pasaran.

 

"Kami percaya jualan hartanah akan meningkat secara beransur-ansur seiring dengan pemulihan sentimen pasaran yang bertambah baik setelah pembukaan semula ekonomi dan pelancaran vaksinasi.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan penjualan hartanah secara agregat akan meningkat lebih tinggi pada separuh kedua 2021.

 

"Ia berpotensi meningkat sekitar 20% hingga 30% tahun ini setelah mengalami penurunan sekitar 16% tahun lalu," jelas RHB Research dalam nota kajian sektor hartanah hari ini.

 

Mengulas lanjut, RHB Research memberitahu, meskipun sektor hartanah sedikit pulih baru-baru ini, pihaknya berpendapat harga saham sektor berkenaan akan terus pulih dan meningkat.

 

Ia susulan daripada kesan positif terhadap makroekonomi yang timbul daripada kitaran pelaburan baharu serta kebangkitan semula projek infrastruktur di samping pengukuhan harga komoditi.

 

RHB Research berkata, sektor hartanah diperdagangkan dengan potongan 64% Nilai Aset Bersih Dinilai Semula (RNAV) berbanding 70% pada akhir 2020.

 

"Kami menyemak semula saranan dan penarafan sektor hartanah kepada 'overweight' berbanding 'neutral' pada sebelumnya.

 

"Risiko utama saranan kami adalah pemulihan pertumbuhan ekonomi yang lebih lemah berbanding jangkaan, kelewatan program vaksinasi dan risiko konflik politik setelah darurat berakhir selepas 1 Ogos nanti," jelas RHB Research. - DagangNews.com