Jualan hartanah Glomac meningkat dua kali ganda pada 1Q21 | DagangNews Skip to main content

Jualan hartanah Glomac meningkat dua kali ganda pada 1Q21

 Glomac Bhd

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Syarikat pembangunan hartanah, Glomac Bhd. (Glomac) berjaya mencatatkan peningkatan nilai jualan hartanahnya sebanyak dua kali ganda untuk suku pertama 2021.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, peningkatan tersebut memberi keyakinan kepada pihaknya untuk memastikan pertumbuhan pendapatan yang stabil pada tahun ini.

"Pada akhir suku pertama 2021, penjualan untuk hartanah meningkat dua kali ganda kepada RM50 juta berbanding RM25 juta pada tempoh sama tahun lalu.

"Peningkatan itu didorong oleh permintaan yang berterusan bagi fasa kediaman Saujana Perdana yang bertempat di Sungai Buloh dan 121 kediaman di PJ-Damansara," jelasnya seperti dilapor The Edge.

 

Fateh Iskandar Mohamed Mansor
Fateh Iskandar Mohamed Mansor

 

Keyakinan terhadap pertumbuhan pendapatan yang stabil itu juga disandarkan kepada perningkatan permintaan dalam pasaran hartanah.

Jualan tanpa bil Glomac berjumlah RM660 juta pada 31 Julai 2020 yang disumbangkan oleh momentum penjualan positif daripada Glomac's Plaza @ Kelana Jaya, 121 Residences dan kawasan perumahan Glomac.

Tambah beliau, jualan tanpa bil itu akan dilengkapkan dengan pelancaran baharu yang dirancang bernilai RM403 juta mengikut nilai pembangunan kasar (GDV) pada tahun kewangan 2021.

Pelancaran berkenaan sebahagian besarnya diperuntukkan untuk separuh kedua 2021 yang akan memperkenalkan fasa kediaman baharu pada harga berpatutan seperti Saujana Perdana, Saujana KLIA dan Saujana Jaya di Johor.

Mengulas mengenai sasaran jualan pada tahun ini, beliau memberitahu kumpulannya masih belum menentukan jumlah berkenaan susulan perintah pergerakan yang sedang dijalankan sekali gus mempengaruhi sektor perniagaan termasuk pasaran hartanah.

"Kami berpendapat memontum penjualan yang baik dari bulan Julai selepas kelonggaran kawalan pergerakan. Namun ada pula perintah kawalan baharu yang dikenakan. Kita akan tengok nanti.

"Prospek jangka masa pendek akan sangat mencabar. Namun, kami melihat pemangkin positif yang dapat memacu pasaran perumahan adalah seperti insiatif Kempen Pemilikan Perumahan Kerjaan dan pengecualian cukai keuntungan hartanah dan duti setem untuk sementara waktu," ujarnya lagi. - DagangNews.com