Jualan Isuzu D-Max meningkat selari dengan trend global | DagangNews Skip to main content

Jualan Isuzu D-Max meningkat selari dengan trend global


PETALING JAYA 5 Julai — Jualan Isuzu D-Max serba baru di Malaysia telah melonjak dengan kadar 100% peningkatan berdasarkan tempahan sejak pikap trak ini mula diperkenalkan. Ini juga sekaligus mencerminkan fenomena global yang menyaksikan kenaikan ketara permintaan terhadap trak pikap terbaru yang sarat penambahbaikan ini.

 

Purata tempahan dalam sebulan yang diterima kini lebih daripada 1,200 unit bagi model terbaru ini sejak ia dilancarkan pada April tahun ini, mencatatkan lonjakan berbanding purata bulanan sebelum ini yang hanya 500 unit.

 

Corak sama turut dikongsi bersama pasaran lain seperti Australia, New Zealand dan Thailand yang menyaksikan pertumbuhan jualan juga semakin tinggi dengan pelanggan tidak melepaskan peluang untuk memilikinya, didorong oleh rekaan sporty dan segar, aspek ergonomik yang diperkaya serta kejuruteraan yang diperkemas padanya.

 

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki berkata, fenomena D-Max serba baru ini yang melanda beberapa pasaran adalah sesuatu yang membanggakan.

 

"Dengan rekaan menarik, tambahan ciri baru dan ciri dipertingkatkan padanya serta reputasi Isuzu yang sudah terbukti turut sama menyumbang untuk meyakinkan pelanggan agar beralih ataupun menaik taraf kepada model D-Max terbaru ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Menggabungkan nilai terbaik dengan barisan kelengkapan termaju dalam penawaran trak pikap, varian 1.9-liter Premium (Auto) menjadi pilihan utama dengan hampir 36% pembeli memilih untuk memilikinya.

 

Menawarkan kapasiti enjin paling rendah dalam pasaran dan tetap mampu memberi prestasi memberangsangkan, model 1.9-liter Premium ini sangat popular di Malaysia kerana ramai yang ingin memanfaatkan kadar cukai jalan yang lebih rendah.

 

Malahan, 61% daripada jualan adalah dari Semenanjung, mengubah corak tradisional dengan nisbah 60/40 yang mana bahagian besar tersebut biasanya disumbangkan oleh pasaran Malaysia Timur.

 

d-max
Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki

 

Model flagship terbaru — X-Terrain — dikuasakan oleh enjin 3.0 liter yang dipertingkat dan menawarkan lebih banyak penambahbaikan sekaligus prestasi lebih baik juga menjadi pilihan dalam kalangan pembeli di seluruh negara. Ia mengisi 17% daripada jumlah keseluruhan.

 

Walaupun dengan kadar cukai jalan lebih mahal, lebih separuh daripada jualan X-Terrain datangnya dari Semenanjung, dengan pelanggan ingin memanfaatkan kelebihan penawaran yang ada padanya seperti Advanced Driving Assistance Systems (ADAS) dan ciri keselesaan, kehalusan serta kabin intuitif, rekaan sporty dan menonjol serta pengendalian yang cekap baik di atas jalan berturap mahupun offroad, menjadikannya pilihan bagi pelanggan yang ingin memenuhi aspek gaya hidup.

 

Dengan Isuzu D-Max serba baru telah mula menawarkan pilihan untuk memenuhi segmen gaya hidup dalam pasaran tempatan, 81% daripada pembeli baru menyatakan bahawa mereka akan menggunakan trak pikap mereka bagi kedua-dua tujuan kerja dan santai sekaligus, suatu hal yang tentunya sangat boleh dilakukan dengan kualiti produk lasak seperti yang dihasilkan Isuzu.

 

Suzuki berkata, penerimaan terhadap model baru ini sangat positif, mengambil kira kekangan yang kita hadapi ketika ini untuk mendekati dan mengalami sendiri kelebihannya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan protokol keselamatan yang dikenakan ketika ini.

 

"Sasaran semasa kami adalah untuk memastikan serahan trak pikap ini berjalan lancar, selamat dan tepat masa kepada pemiliknya, walaupun dalam mendepani cabaran pengurusan serta logistik baik di pasaran tempatan mahupun global," tambah beliau.

 

Isuzu D-Max serba baru telah berhasil mengubah corak penawaran dan penerimaan dalam pasaran, dengan gabungan penawaran pelbagai varian untuk keperluan berbeza, membolehkan kegunaan mengikut keperluan individu yang juga pelbagai. Untuk mengetahui lebih lanjut, pengalaman augmented reality ada disediakan untuk pelanggan yang boleh ditinjau dari rumah pada bila-bila masa, dengan selamat.

 

Lawat pickuptruck.isuzu.net.my atau https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia/ untuk perincian Isuzu D-Max serba baru. - DagangNews.com