Jualan kenderaan dijangka merosot selepas Jun 2021 | DagangNews Skip to main content

Jualan kenderaan dijangka merosot selepas Jun 2021

Industri automotif

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Prestasi jualan kenderaan di Malaysia dijangka akan menempuhi fasa penyusutan selepas Jun 2021.

 

Hab kandungan automotif berlandaskan teknologi terkini, WapCar berkata, jumlah jualan kenderaan juga diramal akan dihantui oleh desas-desus pelaksaan Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun 2021.

 

"Lanjutan pengecualian cukai jualan hingga 30 Jun 2021 dilihat membantu meningkatkan jualan sektor ini.

 

"Tetapi penjualan bagaimanapun dijangka merosot sekali lagi selepas tempoh tersebut.

 

"Terdapat juga perbincangan mengenai pelaksanaan PRU pada tahun 2021. Dua episod pilihan raya sebelum ini telah menyebabkan penjualan kenderaan baharu terganggu dan menjadi risiko kepada industri," jelas WapCar dalam satu kenyataan hari ini.

 

Memasuki tahun 2021, industri automotif Malaysia masih berada dalam tahun yang sulit.

 

Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada awalnya diramal sebanyak 580,000 unit oleh RHB Research, masih di bawah tahap sebelum pandemik iaitu sebanyak 604,287 yang dicatatkan pada 2019.

 

Pemulihan sektor berkenaan bagaimanapun bergantung kepada lanjutan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan Completely Knocked-Down (CKD) dan Completely Build-Up (CBU).

 

Pengecualian cukai tersebut pada awalnya berakhir 31 Disember 2020, namun dilanjutkan kepada 30 Jun 2021.

 

Bagaimanapun, pelaksanaan semula Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 memberi tekanan kepada pasaran kenderaan.

 

Data daripada 11 juta pengguna WapCar.my pada 2020 menunjukkan bahawa kenderaan yang berharga di bawah RM100,000 masih kekal polular.

 

Proton dan Perodua pula adalah dua jenama yang paling dicari pengguna. - DagangNews.com