Tanpa pengecualian cukai, jualan kenderaan masih terus meningkat | DagangNews Skip to main content

Tanpa pengecualian cukai, jualan kenderaan masih terus meningkat

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Sept - Firma-firma penyelidikan menyemak semula unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) pada 2022 berikutan jualan kenderaan yang terus meningkat pada Ogos dan juga masalah rantaian bekalan yang semakin mereda. 

 

Penganalisis RHB Research, Jim Lim Khai Xhiang berkata, tempahan semakin pulih secara berperingkat-peringkat bagi asas bulan ke bulan dan dijangka berterusan memandangkan pengguna mula menyesuaikan diri dengan harga kenderaan selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

Ini mendorong beliau menaikkan unjuran TIV tahun ini kepada 650,000 unit daripada 615,000 unit sebelum ini, berdasarkan kepada TIV semasa yang kukuh. 

 

"Anggaran TIV baharu kami telah mengambil kira kekurangan komponen yang berterusan dan kemungkinan keadaan yang semakin teruk akibat krisis tenaga Eropah.

 

"Bagaimanapun, krisis ini hanya memberi impak minimum kepada syarikat automotif (di bawah liputan kami), memandangkan pengeluaran domestik/Asia Pasifik lebih cenderung untuk mendapatkan komponen secara serantau," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, beliau masih mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor automotif dengan pilihan utamanya ialah Bermaz Auto Bhd. dan Sime Darby Bhd. 

 

Meskipun sektor itu dijangka lebih kukuh pada separuh kedua, beliau masih berhati-hati terhadap jualan kenderaan yang perlahan pada 2023 akibat ketidaktentuan makroekonomi.

 

 

sime darby

 

 

Data yang dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkkan jualan kenderaan di Malaysia melonjak kepada 66,614 unit pada Ogos 2022 berbanding 17,923 unit pada bulan yang sama tahun lalu.

 

Jumlah keseluruhan industri bagi Ogos 2022 naik 36% daripada Julai 2022 (48,922 unit) berikutan memenuhi tempahan daripada syarikat kereta yang diterima sebelum 30 Jun 2022.

 

Setakat tahun ini, jumlah jualan bagi Ogos 2022 meningkat 63% kepada 447,209 unit berbanding 274,600 unit dalam tempoh sama pada 2021.

 

Jualan kenderaan penumpang melonjak kepada 59,769 unit pada Ogos 2022 berbanding 15,475 unit pada Ogos 2021 dan jualan kenderaan komersial naik kepada 6,845 unit pada bulan tersebut daripada 2,448 unit sebelum ini.

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB Research, Mohd Shanaz Noor Azam turut menyemak naik unjuran TIV tahun ini kepada 637,000 daripada 580,000 sebelum ini sejajar dengan unjuran MAA sebanyak 630,000 unit. 

 

Katanya, TIV bagi tempoh lapan bulan melebihi jangkaannya kerana ia terus kekal kukuh meskipun pengecualian SST sudah berakhir. 

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan sektor ini akan merekodkan pertumbuhan TIV yang mendatar bagi suku ke suku pada suku ketiga ini, berikutan pesanan tertunggak yang kukuh. 

 

"Namun, di sebalik TIV lebih kukuh ini, kami menjangkakan prestasi pendapatan pembuat kereta akan dipengaruhi oleh perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi, memandangkan pergerakan kadar tukaran asing yang tidak menggalakkan dan tekanan kos inflasi daripada peningkatan kos bahan mentah dan buruh," katanya.

 

Firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor automotif dengan menamakan Bermaz Auto sebagai pilihan utamanya. - DagangNews.com