KUALA LUMPUR 26 Ogos - "Jualan Merdeka Lazada" dan "Sapot Lokal x Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM)" kini kembali dengan tawaran hebat untuk para pelanggan, selain menggalakkan orang ramai untuk membeli produk buatan Malaysia serta menyokong perusahaan dan jenama tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia, Alan Chan berkata, platform e-dagang itu berbesar hati bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) dalam menyokong usaha kerajaan ke arah merangsang pemulihan ekonomi domestik, di samping menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia bersama-sama komuniti setempat.
“Menerusi inisiatif yang relevan dengan pasaran, seperti Jualan Merdeka dan KBBM yang menjadi ikutan ramai, Lazada amat optimistik dengan impak positif kempen tersebut kepada peniaga tempatan yang mengambil bahagian.
“Ia juga diharapkan akan meningkatkan keyakinan dalam kalangan perusahaan tempatan, di samping memudahkan para pelanggan untuk membeli produk berkualiti buatan Malaysia pada harga yang berpatutan.
"Lazada akan terus berinovasi bagi membantu perniagaan tempatan untuk berkembang maju dalam wadah perdagangan digital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berlangsung di Lazada Visitor Center, Bangsar South di sini, acara sambutan yang bertemakan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia tersebut dijalankan bagi menyokong program perpaduan nasional oleh K-KOMM. Sambutan hibrid tersebut dijalankan secara bersemuka dan strim langsung, bersama lebih 800 para pekerja Lazada Malaysia.
Lagu kebangsaan Negaraku turut dinyanyikan para pekerja Lazada dan berkumandang dengan gah di sekitar kawasan tersebut, diikuti dengan flag-off simbolik van biru logistik Lazada yang ceria dihiasi dengan Jalur Gemilang.
Pada sambutan tersebut, Lazada turut meraikan beberapa para penjual tempatan dan kedai dalam talian mereka dengan penyampaian anugerah ‘Penghargaan Penjual Lazada Kita Kita’.
Kategori pertama adalah “Top Performing Seller”, bagi penjual di Lazada Marketplace yang mencatatkan nilai dagangan kasar (GMV) yang tinggi, serta konsisten mengambil bahagian dalam kempen komersial dan kempen inisiatif kerajaan.
Kategori kedua “Most Engaging Sellers”, bagi penjual di Lazada Marketplace yang aktif menyumbang kepada komuniti penjual tempatan, serta sentiasa membantu dan memberi motivasi kepada rakan penjual yang lain, dan aktif menyokong aktiviti keterlibatan penjual.
Kempen KBBM berlangsung sehingga 31 Disember 2022, yang mana pembeli boleh mendapatkan baucar penghantaran percuma bernilai RM6 dengan pembelian minimum RM30, serta baucar potongan RM5 dengan pembelian minimum RM30, dengan hanya klik pada ikon 'Sapot Lokal' di aplikasi Lazada.
Kempen Jualan Merdeka pula bermula dari 29 Ogos sehingga 31 Ogos 2022, yang mana pembeli boleh menikmati promosi istimewa seperti baucar potongan 50%, diskaun sehingga 65% untuk produk terpilih, serta baucar terhad penghantaran percuma pada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang, termasuk e-baucar Petronas pada harga istimewa. - DagangNews.com