Jualan perdagangan dijangka pulih susulan pembukaan semula ekonomi | DagangNews Skip to main content

Jualan perdagangan dijangka pulih susulan pembukaan semula ekonomi

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Jualan perdagangan dijangka kekal pada paras 6-8% susulan kelonggaran sekatan COVID-19 dan tinjauan ekonomi yang semakain positif.

 

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd., pembukaan semula ekonomi diharapkan dapat meningkatkan kembali permintaan di samping memberikan dorongan ke atas penjualan perdagangan pada akhir suku tahun ini.

 

"Ketika kerajaan bersiap sedia memasuki fasa endemik dengan kadar vaksinasi Malaysia yang tinggi, kebanyakan sektor sosial dan ekonomi kini dibenarkan untu beroperasi semula sejak 11 Oktober lalu.

 

"Dengan itu, penggunaan swasta dijangka meningkat semula kepada 9.5% pada suku keempat 2021," katanya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

 

Jualan perdagangan pengedaran merosot untuk tempoh tiga bulan berturut-turut pada Ogos kepada 10.2% berbanding 14.7% pada Julai dengan jumlah jualan direkodkan bernilai RM100 bilion berbanding RM92.7 bilion pada bylan sebelumnya.

 

Namun Kenanga IB berkata, jumlah tersebut kekal rendah di bawah paras pra-pandemik namun ia merupakan bulan dengan kenaikan peratusan paling besar dalam tempoh 14 bulan berikutan aktiviti pembelian kembali rancak susulan kelonggaran sekatan terhadap individu lengkap vaksinasi.

 

"Prestasi jualan yang meningkat terutamanya disumbangkan oleh penjualan kenderaan bermotor (60.9%; Julai: 83.8%) dan alat ganti dan aksesori (7.2%; Jul: 87.4%) kerana kilang dan bilik pameran dibenarkan beroperasi semula. 

 

"Perdagangan borong menurun sedikit, terutamanya disebabkan oleh peningkatan bulan ke bulan dalam penjualan barangan khusus dan barang isi rumah yang lain," katanya.

 

Semalam Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi perdagangan dan borong sebelum ini susut -14.7 peratus pada Julai dan -10.3 peratus pada Jun.

 

Beliau berkata, walaupun terus susut, tetapi nilai jualan sektor ini tumbuh 7.9 peratus bulan ke bulan. -DagangNews.com