Jualan Proton meningkat 3.9% kepada 60,124 unit bagi 1H22 | DagangNews Skip to main content

Jualan Proton meningkat 3.9% kepada 60,124 unit bagi 1H22

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Proton mencatatkan jualan bulanan terbaik iaitu 14,787 unit (tempatan + eksport) didaftarkan pada bulan Jun selari dengan usaha syarikat secara berterusan dalam menyelesaikan isu bekalan komponen. 

 

Prestasi ini merupakan peningkatan sebanyak 51% berbanding bulan lepas dan seterusnya meningkatkan jumlah jualan separuh tahun pertama (1H22) kepada 60,124 unit, peningkatan sebanyak 3.9% berbanding tempoh sama tahun lalu. 

 

Secara keseluruhan, Proton mengekalkan kedudukan di tangga kedua di dalam industri automotif dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 22.6%. 

 

Manakala jumlah pegangan pasaran tahunan mencatatkan 18.2%, penurunan sebanyak 5.1% berbanding enam bulan pertama pada tahun lepas. Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 331,164 unit. 


 
Proton X50 merekodkan jualan tertinggi bulanan dan 4 model menerajui segmen masing-masing. Sejak dilancarkan pada 27 Oktober 2020, jualan Proton X50 menjadi satu fenomena bagi Proton, sehingga membantu syarikat muncul sebagai pemimpin segmen SUV dalam negara. 

 

Pada bulan lepas, Proton X50 mencatatkan jualan bulanan terbaik dengan 4,473 unit didaftarkan dan menerajui SUV segmen-B dan keseluruhan pasaran SUV. 

 

Tidak ketinggalan, pembaharuan bagi model X70 yang telah dilancarkan baru-baru ini, telah mencapai prestasi terbaiknya sepanjang tempoh 20 bulan dengan 2,969 unit yang turut membolehkannya mengekalkan posisi sebagai pemimpin jualan untuk SUV segmen-C. 

 

 

proton
Roslan Abdullah

 

 

Antara model lain yang turut menikmati manfaat dengan pembaharuan ialah Proton Saga 2022 yang diperkenalkan pada 12 Mei 2022. Sebanyak 5,460 unit telah didaftarkan pada bulan lepas, seterusnya melonjakkannya kembali ke tangga teratas bagi kelas sedan segmen-A dan memacu jumlah akumulatif jualan tahunan kepada 23,484 unit.

 

Peneraju segmen keempat bagi bulan Jun ialah Proton Exora, yang mengekalkan posisi nombor 1 di dalam kelas MPV segmen-C dengan 513 unit berdaftar. Akhir sekali, Proton Persona dan Proton Iriz mencapai jualan 1,224 unit dan 421 unit dan meletakkan mereka di posisi ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, Jun adalah bulan yang sibuk bagi industri automotif dengan kebanyakan jenama berusaha mengeluarkan sebanyak mungkin kenderaan bagi memenuhi permintaan pasaran. 

 

Beliau berkata, pengumuman insentif SST berakhir pada 1 Julai juga mendorong tempahan apabila pelanggan bergegas mengambil kesempatan daripada penjimatan yang ditawarkan. 

 

"Proton menerima lebih daripada 150,000 tempahan untuk enam bulan pertama tahun ini dan sekiranya ditambah kepada pesanan yang diterima pada tahun 2021, kami perlu bekerja keras dalam memastikan penghantaran kenderaan dilakukan dengan secepat mungkin seterusnya memenuhi pemintaan pelanggan. 

 

“Kami bersyukur bahawa isu bekalan komponen dapat diselesaikan secara berperingkat, ia bukan sahaja dapat meningkatkan pengeluaran, tetapi juga memberi impak positif kepada rangkaian selepas jualan. 

 

"Seperti yang dijanjikan, semua cawangan 3S/4S kami kini mempunyai stok tiga bulan bagi komponen bergerak pantas (FMP) dan ini direplikasi di gudang alat ganti kami. Isu bekalan bagi komponen yang lain juga sedang diselesaikan dan kami berharap dapat memberikan tahap perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik kepada pelanggan kami tidak lama lagi,” katanya.

 

Di samping jualan domestik Proton yang terus berkembang, jualan eksport pula bertumbuh dengan pesat. Sebanyak 636 unit dijual pada Jun membawa jumlah eksport bagi separuh tahun pertama 2022 kepada 2,722 unit, peningkatan sebanyak 81.2% berbanding tahun sebelumnya dan meletakkan syarikat sebagai pengeksport utama dalam negara. 

 

Proton Saga terus mendahului dengan 1,602 unit, peningkatan sebanyak 78%, namun begitu, Proton X70 dan Proton X50 berkembang dengan lebih rancak. Dengan 377 dan 100 unit dicapai pada bulan Jun, kedua-duanya mencatatkan angka eksport terbaik mereka dengan lebih banyak lagi akan dieksport untuk masa yang akan datang. 

 

Bagi pasaran individu, Pakistan terus menjadi pasaran eksport terbesar dengan 1,770 unit bagi separuh pertama 2022, pertumbuhan sebanyak 183% berbanding separuh tahun pertama 2021. Ini diikuti Brunei dan Bangladesh dengan masing-masing sebanyak 203 dan 194 unit.

 

Tambah Roslan, eksport adalah salah satu tunggak utama dalam memacu pertumbuhan masa depan Proton dan selari dengan komitmen kepada kerajaan untuk membantu membangunkan industri eksport automotif di Malaysia. 

 

"Dengan penambahan pasaran baharu seperti Afrika Selatan ke dalam portfolio kami, kami menyasarkan volum eksport akan terus berkembang dan akan menyumbang lebih banyak jualan pada masa hadapan,” katanya. - DagangNews.com