Jualan Sama-Sama Digital EasyStore sasar capaian 500,000 pelanggan | DagangNews Skip to main content

Jualan Sama-Sama Digital EasyStore sasar capaian 500,000 pelanggan

Jualan Sama-Sama Digital

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Jualan Sama-Sama Digital yang akan dianjurkan oleh platform e-dagang milik Exabytes, EasyStore menyasarkan 500,000 capaian pelanggan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif EasyStore Commerce Sdn. Bhd. dan Exabytes Network Sdn. Bhd., Chan Kee Sick berkata, sasaran yang diletakkan itu adalah merangkumi pelanggan di Malaysia dan Taiwan.

"Walaupun usaha berterusan kami untuk membantu PKS telah membuahkan hasil, EasyStore ingin terus membantu jenama-jenama tempatan meluaskan pangkalan pelanggan ke luar Malaysia. 

"Kerjasama kami dengan Commerce Development Research Institute Taiwan membolehkan perniagaan-perniagaan mendapat akses kepada 500,000 pelanggan sepanjang tempoh jualan ini berlangsung. 

"Perniagaan yang berdaftar dengan Jualan Sama-Sama Digital juga akan berpeluang untuk dikenali dan menambah jumlah pelanggan mereka di Malaysia dan Taiwan dengan keistimewaan-keistimewaan yang ditawarkan melalui kempen digital ini," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Jualan Sama-Sama Digital itu akan dilancarkan bermula 25 September hingga 2 Oktober 2020.

Jualan selama lapan hari itu juga turut mendapat sokongan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Commerce Development Research Institute Taiwan, Exabytes, EasyParcel dan Janio.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri pula berkata, sokongan MDEC terhadap inisiatif EasyStore  akan membuka laluan tambahan kepada PKS ke arah pemulihan perniagaan selepas pelbagai inisiatif dilancarkan oleh kerajaan dan pihaknya sebelum ini.

"Menerusi kerjasama dengan EasyStore, kempen Jualan Sama-Sama Digital mengupayakan PKS ke arah digital sekaligus menyediakan sokongan kepada usahawan e-dagang untuk mencapai jumlah pelanggan yang lebih meluas. 

"Ini akan mempercepatkan persediaan mereka untuk berkembang dalam pasaran Taiwan. Inisiatif ini adalah peluang yang hebat untuk PKS tempatan menembusi pasaran global kerana ia akan meningkatkan kesedaran terhadap produk dan jenama Malaysia dalam kalangan negara Asia lain seperti Taiwan," jelas Surina.

Manfaat menyertai Jualan Sama-Sama Digital adalah seperti berikut;

  • Capaian kepada 500,000 Pelanggan

          Kembangkan perniagaan dengan mencapai lebih banyak pelanggan yang berkualiti 

  • Senaraian Promosi secara percuma

          Paparkan jenama-jenama dan produk-produk kepada bakal pembeli tanpa sebarang kos 

  • Jual kepada Lebih Ramai Pelanggan di Malaysia dan Taiwan

          Sertai kempen yang hebat ini dan promosikan perniagaan di Malaysia dan Taiwan

  • Tawaran Eksklusif daripada Pembekal Perkhidmatan E-dagang

          Daftar sebagai peniaga dengan EasyStore dan pelbagai tawaran eksklusif daripada rakan-rakan

          EasyStore menanti anda


Pendaftaran Jualan Sama-Sama Digital dibuka kepada peniaga-peniaga tempatan sehingga 28 September 2020. - DagangNews.com