Jumlah penganggur bertambah hampir 40% tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Jumlah penganggur bertambah hampir 40% tahun lalu

 

 

KUALA LUMPUR 22 April - Pasaran buruh Malaysia tahun ini dijangka meningkat secara marginal, setelah kadar pengangguran berkembang 4.5% tahun lalu berbanding 3.3% pada 2019 akibat pandemik COVID-19.

 

Keadaan ini disokong oleh inisiatif kerajaan bagi membantu pasaran buruh, fasa pemulihan ekonomi yang berterusan dan pelancaran program vaksinasi mulai April lalu.

 

Bagaimanapun, ia masih berdepan dengan cabaran ketidaktentuan ekoran situasi krisis kesihatan di Malaysia.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pelbagai fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga akhir 2020 bagi menangani situasi pandemik yang tidak menentu ditambah dengan peningkatan berterusan kes baharu harian. 

 

Namun, katanya, menjelang akhir tahun, sebahagian aktiviti perniagaan dibenarkan untuk beroperasi semula dengan pematuhan kepada prosedur standard operasi (SOP) yang ketat dengan amalan norma baharu secara berterusan kecuali aktiviti pawagam, hiburan, rekreasi serta perhimpunan sosial yang masih dilarang. 

 

"Langkah-langkah pencegahan ini adalah penting untuk mengimbangi antara pemulihan ekonomi dan situasi kesihatan, justeru, kedudukan tenaga buruh menunjukkan peningkatan yang sederhana menjelang akhir 2020.

 

"Selain itu, pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan bagi menyokong kelangsungan perniagaan bagi mengurangkan beban mereka terutama perniagaan kecil dan seterusnya mempercepatkan pemulihan pasaran buruh," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Berdasarkan Laporan Kaji Selidik Tenaga Buruh Malaysia 2020 yang dikeluarkan hari ini didapati bilangan tenaga buruh Malaysia yang terdiri daripada penduduk bekerja dan penganggur meningkat 0.6% kepada 15.7 juta berbanding tahun sebelumnya, 15.6 juta. 

 

Tidak seperti ketika tempoh pra-krisis, peningkatan tenaga buruh pada tahun ini adalah disebabkan peningkatan bilangan penganggur. 

 

Sebahagian besar pasaran pekerjaan didominasi kumpulan berumur 25 hingga 29 tahun sebanyak 28% atau 2.8 juta orang diikuti kumpulan umur 30 hingga 34 tahun (15.8%, 2.5 juta) dan kumpulan umur 35 hingga 39 tahun (13.5%. 2.1 juta) menjadikan keseluruhannya, 74.4% daripada keseluruhan tenaga buruh di Malaysia.

 

Pada 2020, penduduk bekerja menurun 0.8% kepada 15 juta berbanding 15.1 juta pada 2019. 

 

Ia juga menyaksikan bilangan penganggur bertambah sebanyak 39.9% atau 202,800 orang tahun ke tahun merekodkan seramai 711,000 berbanding 508,200 pada 2019.

 

Dari segi kumpulan umur, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun, meningkat 1.5 mata peratus kepada 12% merekodkan 314,000 belia yang menganggur pada tahun lalu. 

 

Begitu juga, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun turut meningkat 1.5 mata peratus kepada 8.3% manakala kadar pengangguran bagi dewasa berumur 25 hingga 64 tahun naik 1.3 mata peratus kepada 3%. 

 

Krisis kesihatan COVID-19 yang menyelubungi negara selama setahun telah menyebabkan permintaan pekerjaan merosot secara keseluruhannya. 

 

Situasi ini mendorong kepada persaingan yang tinggi dalam pasaran buruh dan menjadi antara punca pencari kerja terutama dalam kalangan graduan untuk menerima sebarang pekerjaan tanpa mengira kelayakan mereka bagi kelangsungan hidup. 

 

Pada tahun lalu, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran meningkat sebanyak 18.9% kepada 1.8 juta berbanding 1.5 juta pada 2019.

 

Oleh itu, kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran kepada penduduk bekerja dengan pendidikan tertiari bertambah daripada 34.4% pada 2019 kepada 38% tahun lalu. - DagangNews.com