Jumlah penganggur meningkat 860,000 | DagangNews Skip to main content

Jumlah penganggur meningkat 860,000

pengangguran

KUALA LUMPUR 13 Julai - Kadar pengangguran di negara ini menyaksikan peningkatan kepada 5.5% iaitu seramai 860,000 orang bagi tahun 2020.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah tersebut adalah mengikut unjuran Jabatan Perangkaan yang didorong situasi pasaran buruk akibat COVID-19.

"Tahun ini disebabkan masalah COVID-19 dan sebagainya, memang peratusan pengangguran meningkat. Unjuran 5% iaitu 720,000 dan akhirnya 860,000 orang. Ia tak menggembirakan saya.

"Soal penting sekarang apa yang kita harus lakukan supaya tak berlaku kemerosotan. Kita bagi subsidi upah atau moratorium kepada syarikat sebanyak RM100 bilion yang diperuntukkan bank," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas beliau lagi, pemberian subsidi upah dan moratorium itu juga memberi peluang kepada pengusaha yang terbabit dalam perniagaan bagi memastikan kadar pengangguran tidak bertambah.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

Selain memberi tahu insentif tersebut akan diteruskan di masa hadapan, Muhyiddin turut memberi keyakinan terhadap pasaran buruk yang dijangka pulih kembali pada akhir tahun 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan pengoperasian penuh sektor perniagaan.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menjangkakan kadar pengangguran mencecah 5.5% akibat COVID-19 sekali gus menjadi kadar tertinggi pernah dicatat negara sejak tahun 1989.

Kadar pengangguran tertinggi pernah direkodkan Malaysia adalah pada 1986 iaitu sebanyak 7.4%.

Bermula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, jumlah pengangguran meningkat 17.1% kepada 610,500 orang berbanding Mac 2019.

Peningkatan tersebut menyaksikan sektor pelancongan dan kepenggunaan adalah sektor paling terjejas dengan kejatuhan permintaan khususnya dalam tempoh dua minggu terakhir bulan Mac iaitu pada awal pelaksanaan PKP. - DagangNews.com