Jumlah penumpang AirAsia susut 85% | DagangNews Skip to main content

Jumlah penumpang AirAsia susut 85%

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Jumlah penumpang AirAsia Group Bhd (AirAsia) susut sebanyak 85% kepada 1.91 juta pada suku ketiga 2020 daripada 13 juta pada suku yang sama tahun lepas.

 

Di sebalik pandemik COVID-19, faktor muatan AirAsia berkurangan sebanyak 18 mata peratusan (ppts) tahun ke tahun kepada 66%, kata syarikat penerbangan tambang murah itu dalam satu kenyataan semalam.

 

Bagi tempoh bulanan, metrik operasi utamanya meningkat pada bulan September berbanding Julai dengan mencatatkan jumlah penumpang yang lebih tinggi dalam operasinya di Malaysia, India dan Thailand, ia meningkat masing-masing sebanyak 36 peratus, 79 peratus dan 65 peratus.

 

Ia berkata faktor muatan untuk kumpulan itu meningkat 7.0 ppts pada bulan September berbanding bulan Julai.

 

"Peningkatan ini menunjukan trend kenaikan yang kukuh untuk permintaan bagi perjalanan udara di pasaran utama untuk kumpulan tersebut," katanya, seperti dilapor Bernama.

 

AirAsia Malaysia beroperasi pada tahap 52% daripada kapasiti domestiknya pada bulan September berbanding 40% pada Julai kerana permintaan perjalanan telah berada pada trajektori menaik sejak suku kedua berikutan kelonggaran terhadap perjalanan antara negeri.

 

AirAsia Malaysia mencapai faktor muatan sebanyak 68 peratus dengan mencatat hampir 1.8 juta penumpang pada suku tersebut.

 

Walaupun kapasiti telah dikurangkan pada bulan Oktober susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan, AirAsia sedang berusaha untuk pulih kepada tahap 60% pada suku keempat sama seperti tempoh sebelum penularan COVID-19 dalam kapasiti domestik.

 

Faktor muatan AirAsia Indonesia turun sebanyak 36 ppts kepada 49% pada suku ketiga 2020 manakala AirAsia Filipina beroperasi pada tahap hanya 5% sahaja daripada kapasiti tahun lepas pada suku yang dikaji. - DagangNews.com