Jutawan Filipina beli syarikat Munchy's dengan harga RM1.9 bilion | DagangNews Skip to main content

Jutawan Filipina beli syarikat Munchy's dengan harga RM1.9 bilion

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
nabila@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 1 Dis - Universal Robina Corp. (URC) yang dikuasai oleh jutawan Lance Gokongwei dan adik-beradiknya dilaporkan telah bersetuju untuk membeli Munchy Food Industries Malaysia daripada firma ekuiti swasta CVC Capital Partners pada harga RM1.9 bilion ringgit ketika syarikat Filipina itu mengembangkan jejaknya di seluruh Asia Tenggara .

 

Menurut laporan Forbes, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif URC, Irwin C. Lee berkata, pengambilalihan itu akan menambah nilai kepada portfolio produk antarabangsa URC dan meningkatkan kedudukan pasarannya di Malaysia untuk menjadi pengeluar biskut terkemuka negara.

 

Urus niaga itu dijangka selesai bulan depan.

 

Ditubuhkan pada tahun 1991, Munchy's merupakan jenama biskut No. 1 Malaysia dan produknya diedarkan di 50 negara di seluruh dunia. Ia menawarkan produk merentasi semua segmen biskut utama termasuk Munchy's Cream Crackers, Lexus Cream Sandwich, Oat Krunch, Muzic Wafer dan biskut Choc-O.

Kilang Munchy's di Batu Pahat
Kilang Munchy's di Batu Pahat, Johor

"Munchy's, dengan jenamanya yang kukuh, organisasi berbakat dan kecemerlangan operasinya, adalah sesuai dengan strategik URC.

 

“Bersama-sama, kita akan dapat mengembangkan lagi jejak jenama URC dan Munchy dan membuka kunci sinergi pertumbuhan di Malaysia serta di seluruh rantau ASEAN," kata Lee.

 

Pengambilalihan itu dibuat selepas URC bersetuju pada Ogos untuk menjual baki 60% pegangannya dalam Unisnack ANZ kepada rakan usaha sama Intersnack Group, meninggalkan perniagaan makanan ringan Australia dan New Zealand dan menumpukan pada Asia Tenggara. Butiran kewangan tidak didedahkan pada masa pengumuman.

Ketua Pegawai Eksekutif Munchy'sRodney Wong
Ketua Pegawai Eksekutif Munchy's, Rodney Wong

Susulan penyempurnaan pelupusan pada Oktober, URC berkata ia akan menempah keuntungan luar biasa sebanyak AS$250 juta daripada penjualan Unisnack dalam keputusan setahun penuhnya. 

 

Dalam sembilan bulan berakhir 30 September, syarikat itu melaporkan peningkatan pendapatan bersih sebanyak 38% kepada 11.2 bilion peso (AS$222.4 juta) berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh faedah cukai dan hasil daripada penjualan tanah terbiar.

 

Jualan meningkat 3% kepada 102.6 bilion peso dalam tempoh itu kerana kesan berlarutan pandemik COVID-19 menjejaskan permintaan pengguna.

 

URC yang terkenal dengan snek Jack 'n Jill keluarannya di Filipina mempunyai kehadiran yang kukuh di seluruh Asia Tenggara, menjana jualan sebanyak 133 bilion peso pada 2020, dengan lebih 14,000 pekerja di seluruh rantau ini. 

 

Syarikat itu diasaskan oleh mendiang jutawan John Gokongwei pada 1954 sebagai kilang kanji jagung. 

 

Selain daripada pembuatan makanan ringan, URC turut mempunyai kepentingan dalam mi segera, minuman dan komoditi agroindustri. -DagangNews.com