'Jutawan segera' musim PKP | DagangNews Skip to main content

'Jutawan segera' musim PKP

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

Tagline 'tak hensem takpe, janji kaya' - selalu berputar-putar di saluran radio hampir setiap masa, setiap hari. 

 

Maknanya mendalam, tetapi kesannya boleh merana jiwa, nangis tepi bucu katil. Kalau untung boleh jadi 'jutawan segera', tetapi jika sebaliknya, siapa nak tanggung tambah-tambah musim COVID-19.  

 

Jika sembang kedai kopi, boleh jadi ukuran, ramai orang nak duduk rumah tapi duit masuk macam air. 

 

Sebelum era COVID-19, ramai malas hendak redah kesesakan trafik ke tempat kerja, tetapi sekarang lain pula ceritanya.  

 

Norma baharu, bekerja dari rumah dan juga didorong faktor-faktor lain seperti mencari sumber pendapatan sampingan, ramai memilih berjinak-jinak main saham.

 

Ini dapat dilihat apabila penyertaan pelabur runcit dalam pasaran ekuiti tempatan sentiasa aktif hampir saban minggu terutama sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu. 

 

Sepanjang tahun lalu, pelabur runcit menguasai 34.4% daripada jumlah nilai dagangan diikuti pelabur institusi (29.8%), hak milik (18.2%) dan penama (17.7%), menurut nota kajian CGS-CIMB Research bertarikh 21 Januari lalu.

 

Dalam laporan aliran dana mingguan, MIDF Research pula menunjukkan, pelabur runcit membeli ekuiti setiap hari sepanjang minggu lalu dengan pembelian tertinggi direkodkan pada Khamis berjumlah RM172.95 juta di sebalik pelaksanaan semula PKP 2.0 yang bermula 13 Januari lalu.  

 

SUMBER : MIDF

 

Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli berkata, sejak PKP 1.0 lagi, penyertaan pelabur-pelabur baharu meningkat dengan mendadak dengan kebanyakannya terdiri daripada golongan muda berumur di bawah 30 tahun.

 

Sebelum PKP, katanya, penglibatan peserta bagi setiap kali sesi yang dianjurkannya hanya sekitar 50 orang sahaja tetapi ia meningkat hingga 6 kali ganda selepas itu. 

 

"Bulan lalu, seramai 300 orang menyertai kelas saham saya. Aktiviti melabur di Bursa Malaysia kini dilihat sebagai satu alternatif atau tambahan pilihan buat mereka untuk mencari peluang membuat wang tambahan. 

 

"Tambahan pula, kini kelas saham boleh dijalankan secara dalam talian dan harganya jauh lebih murah," katanya kepada DagangNews.com. 

 

Beliau juga memberitahu, permintaan pelabur baharu tetap meningkat walaupun kaedah pemasaran yang dijalankannya tidak terlalu agresif.

 

Berdasarkan prestasi kewangan Bursa Malaysia Bhd. bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020, nilai purata dagangan harian (ADTV) meningkat 52% kepada RM5.7 bilion berbanding RM3.8 bilion pada suku sebelumnya, sebahagian besar didorong aktiviti dagangan pada Ogos yang mencatat 27.8 bilion jumlah dagangan.   

 

Malah, pada bulan itu juga pelabur runcit menguasai hampir 40% daripada urus niaga saham di Bursa Malaysia. 

 

Menurut Hong Leong Investment Bank Research dalam nota kajian bertarikh 19 Januari lalu, PKP 2.0 yang kini dilanjutkan sehingga 4 Februari akan menyaksikan penyertaan pelabur runcit yang lebih agresif dalam pasaran. 
 

Perkara ini terbukti ketika PKP sebelum ini, yang mana pelabur runcit meningkat daripada 27.1% bagi tempoh Januari hingga pertengahan Mac kepada 32.5% bermula tempoh PKP 1.0 hingga akhir April 2020.  

 

Walaupun ADTV pelabur asing meningkat 21.9% tahun lalu, tetapi ia menurun daripada 29% kepada 17% apabila pelabur runcit menguasai pasaran, melonjak daripada 25% kepada 37%.

 

Baca : Pelabur runcit 'berpusu-pusu' masuk Bursa Malaysia semasa PKPB

 

Sementara itu, pemegang Lesen Wakil Peniaga dan Pasaran Hadapan Inter-pacific Securities Sdn. Bhd., Zainal Ariffin Osman berkata, pelabur bumiputera juga kini semakin celik saham dengan rata-rata pelabur baharu mahu menjadikannya sebagai peluang menambah pendapatan. 

 

"Pasaran saham sangat mudah untuk mengaut keuntungan, tetapi mudah juga untuk membuat kerugian. Untuk menjadi pelabur berjaya, mestilah ada ilmu. 

 

"Hanya orang yang berilmu sahaja yang akan membuat keuntungan dalam pasaran saham," katanya. 

 

Beliau memberitahu, terdapat banyak laman web percuma dan sumber yang boleh dijadikan rujukan pelabur baharu, termasuklah laman web yang bangunkan Bursa Malaysia. 

 

Beliau juga mengingatkan pelabur baharu supaya berhati-hati kerana pasaran saham bukan tempat mendapat keuntungan cepat. 

 

"Pelaburan dalam pasaran saham sama seperti menguruskan perniagaan, jika ada ilmu kita tidak mudah tertipu dengan skim cepat kaya," katanya. 

 

Berkongsi nada yang sama, Nazarry berkata, mereka tidak sepatutnya menggunakan wang simpanan atau pinjaman untuk membuat pelaburan dalam pasaran saham. 

 

"Mereka kena faham risiko dan sebab itu, pelabur hanya boleh menggunakan wang lebihan jika buat pelaburan.   

 

"Pendekatan terbaik buat pelabur ialah memilih syarikat yang membuat keuntungan setiap suku tahunan dan berpotensi merekodkan untung setiap masa," katanya. 

 

Zuraida Mohd. Zakaria atau lebih dikenali sebagai Cikgu Saham juga pernah berdepan dengan pengalaman salah seorang pelajarnya yang mengalami kerugian hingga RM1 juta. 

 

"Boleh main saham, jika kena buang kerja tapi berhati-hatilah. Satu lagi kebimbangan saya, duit i-Sinar, jangan sesekali laburkan. 

 

"Dapat RM10,000, pergi kelas mungkin sekitar RM4,000 dan selebihnya melabur, kalau lebur siapa yang salah?," katanya. 

 

Beliau berkata, ketika PKP 1.0, dalam sehari dagangan, pembukaan akaun Central Depository System (CDS) pernah mencecah sehingga RM100,000 tetapi keadaan ketika ini tidak serancak dulu. 

 

"Bagi saya, seseorang memerlukan bimbingan sekurang-kurangnya 2 tahun supaya mereka betul-betul mahir dengan turun naik pasaran saham," katanya. 

 

Data CGS-CIMB menunjukkan ADTV dalam pasaran ekuiti menurun 14.8% kepada RM5 bilion pada suku keempat 2020 apabila berakhirnya tempoh moratorium menyeluruh pada 30 September lalu. 

 

Apabila lebih ramai peminjam mula membayar hutang masing-masing pada suku berkenaan, ia sekali gus mengurangkan kecairan dalam pasaran ekuiti. 

 

Bagaimanapun, pertumbuhan ADTV bagi tahun ke tahun kekal kukuh meningkat 143% pada suku keempat 2020 berbanding RM2.05 bilion bagi tempoh sama 2019. - DagangNews.com