K-KOMM tampilkan pengalaman langsung media massa, cungkil bakat penduduk Sarawak di Jelajah AKM | DagangNews Skip to main content

K-KOMM tampilkan pengalaman langsung media massa, cungkil bakat penduduk Sarawak di Jelajah AKM

Gloria Eunice (tengah) pemenang Ratu Cantik Bidayuh Mystique Festival baru-baru ini, ditemubual secara langsung bersama stesen WaiFM pada Jelajah AKM Sarawak di Kuching. - DagangNews.com
Oleh KERNI PUAH

KUCHING 6 Ogos - Lebih daripada 1,500 pengunjung ke Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Perayaan, Petrajaya hari ini berpeluang merasai dan mempelajari sendiri pengalaman ditemubual secara langsung di pameran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

 

Bagi Gloria Eunice, yang merupakan pemenang Ratu Cantik Bidayuh Mystique Festival baru-baru ini, dia berpeluang merasai pengalaman ditemubual secara langsung bersama WaiFM dalam segman Bidayuh yang mana penyampai radio bertugas membawakan situasi sebenar semasa menemubual tetamu di konti pada pameran berkenaan.

 

“Pengalaman yang sangat berharga buat saya apabila ada peluang seperti ini dalam  program yang dianjurkan oleh pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti ini kerana tidak pernah lagi saya menjejakkan kaki dan melihat suasana seumpama di konti radio.

 

“Bukan sahaja berpeluang ditemubual bersama penyampai radio, malah saya turut berpeluang berjumpa dengan pengacara, penyampai berita dan mereka yang berada di hadapan televisyen,” katanya ketika ditemui pada tinjauan DagangNews.com. 

 

Aktiviti tersebut merupakan intipati yang dianjurkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

 

Antara aktiviti lain yang dijalankan Uji Bakat Artis PENTARAMA anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) dan (K-KOMM) dalam mencungkil bakat belia Sarawak. Selain itu, aktiviti “happy hour” yang memberi peluang kepada pengunjung untuk membuat cabutan bertuah dengan menyertai beberapa permainan di reruai K-KOMM. 


 

kkomm

 


Sementara itu, Mohd Faizin Zainuddin yang ditemui ketika menyertai permainan di pameran tersebut turut berasa teruja kerana berpengalaman mengetahui peranan K-KOMM serta pengamal media dalam menyampaikan berita tidak kira menerusi elektronik mahupun cetak. 

 

“Pengalaman yang luar biasa bagi saya kerana kita sebagai rakyat dapat mengetahui dengan lebih dekat dan jelas bagaimana usaha pengamal media ini memainkan peranan mereka untuk teurs menyalurkan berita yang sahih dengan penguasaan teknologi yang semakin moden,” jelasnya. 

 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka JaPEN, Nor Azli Mohd Nor Azian berkata, pihaknya turut menampilkan pelbagai aktiviti temubual bersama usahawan tempatan dan artis jemputan tempatan. 

 

“Objektif kita adalah untuk mengetengahkan masyarakat peranan agensi di bawah K-KOMM dan pada masa yang sama membantu usahawan tempatan mempromosikan perniagaan mereka melalui media massa,” katanya. 


 

kkomm

 


Jelasnya, sambutan pameran pada hari pertama itu amat memberangsangkan meskipun hujan seharian di lokasi penganjuran AKM. 

 

Untuk rekod, sebanyak lima agensi di bawah K-KOMM menyertai pameran tersebut yang terdiri daripada RTM, SKMM, JaPEN, dan MDEC. - DagangNews.com