Kabinet arah siasat dakwaan Tommy Thomas mengenai salah laku badan kehakiman | DagangNews Skip to main content

Kabinet arah siasat dakwaan Tommy Thomas mengenai salah laku badan kehakiman

 

PUTRAJAYA 9 Okt - Kabinet mengarahkan penubuhan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”. 

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan petugas ini akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat.

 

Sementara itu ujar beliau, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak sebagai urusetia.

 

''Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu
pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah
kerahsiaan,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

BACA JUGA : Ismail Sabri: Jawatankuasa khas 5 kementerian ditubuh siasat kematian Muhammad Adib

 

Perdana Menteri berkata, jawatankuasa yang dipersetujui oleh Jemaah Menteri ini akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.

 

Tommy dilantik sebagai Peguam Negara semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 sehingga kerajaan tersebut digulingkan pada 2020 dalam peristiwa digelar 'Langkah Sheraton'. - DagangNews.com