Kabinet setuju bina jambatan Sabah-Labuan, kata Annuar Musa | DagangNews Skip to main content

Kabinet setuju bina jambatan Sabah-Labuan, kata Annuar Musa

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kerajaan telah mencapai persetujuan untuk membina jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah.

 

Pembinaan itu bakal dilaksanakan secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (gambar atas).

 

“Satu kertas memorendum Jemaah Menteri telah dikemukakan pada 9 September 2020 untuk memohon kelulusan bagi pembinaan jambatan Labuan ke Sabah dipersetujui. 

 

“Sukalah saya memaklumkan Kabinet telah pun memberikan persetujuan agar cadangan pembinaan jambatan tersebut dilaksanakan,” kata Annuar di Dewan Rakyat hari ini.

 

Beliau menjawab soalan Datuk Rozman Isli (Warisan-Labuan) sekiranya pembinaan jambatan berkenaan akan ditanggung kerajaan atau secara PFI. 

 

Jelas Annuar, kementeriannya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) kini dalam tindakan untuk memuktamadkan terma-terma rujukan bagi melaksanakan ‘request for proposal’ atau permintaan cadangan (RFP). 

 

Sehubungan itu, bagi memastikan pelaksanaannya memberi faedah kepada kerajaan serta berjalan sempurna, ia akan dilakukan secara telus melalui pembidaan pesaing dengan menjemput RFP, kata Annuar. 


 

“Seperti mana diketahui, pelaksanaan secara kerjasama awam dan swasta bertujuan memacu pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan swasta di samping mengurangkan bebanan kerajaan,’ tambah Annuar. 

 

Kementeriannya menjangkakan terma-terma bagi RFP pembinaan jambatan berkenaan dihantar oleh syarikat yang berminat sebelum penghujung tahun ini.

 

Kira-kira enam hingga lapan bulan diperlukan untuk melengkapkan dokumen RFP secara halus untuk membolehkan proses pembidaan dijalankan. 

 

Kata Annuar, menjelang bulan September tahun hadapan, syarikat pembida akan dinilai dan pada Oktober, kementeriannya akan memuktamadkan kaedah yang bakal digunakan serta syarikat terpilih untuk membina jambatan itu. - DagangNews.com