Kadar dasar semalaman dijangka naik 25 mata asas lagi minggu ini | DagangNews Skip to main content

Kadar dasar semalaman dijangka naik 25 mata asas lagi minggu ini

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), Rabu ini. 

 

Ini berikutan peningkatan berterusan dalam inflasi teras, mencerminkan permintaan dalam negeri yang kukuh, menurut MIDF Research. 

 

"Selain itu, momentum positif dalam jualan perdagangan pengedaran, penurunan kadar pengangguran kepada 3.9% pada April, manakala perdagangan luar berkembang 2 digit memberikan isyarat positif pemulihan kukuh dalam ekonomi," jelasnya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada Mei lalu, BNM menaikkan 25 bps menjadikan OPR kepada 2% daripada paras terendah 1.75% sebelum ini.

 

Memandangkan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, bank pusat berkata, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2% hingga 3% pada tahun ini.

 

Inflasi makanan pada Mei 2022, terus meningkat ke paras baharu 5.2%, tertinggi sejak November 2011 dengan 93% item dalam kumpulan ini merekodkan kenaikan.

 

Kumpulan makanan adalah penyumbang utama peningkatan 2.8% Indeks Harga Pengguna bagi Mei 2022, melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga 2022 iaitu 1.9%.

 

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak akan membiarkan rakyat ‘ikat perut’ dalam isu kenaikan harga barang, sebaliknya akan mencari jalan bagi menyelesaikannya.

 

Pelbagai usaha juga sedang dilakukan untuk jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi mengatasi masalah ini khususnya bagi memastikan sekuriti makanan negara sentiasa terjamin. 

 

MIDF Research berkata, tekanan inflasi keseluruhan di Malaysia dijangka kekal stabil terutama dengan harga runcit bahan api runcit yang tidak berubah untuk tahun ini.

 

Ia menjangkakan inflasi makanan akan meningkat di tengah-tengah kenaikan harga komoditi global, pemotongan subsidi ke atas barangan tertentu dan susut nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana Malaysia adalah negara pengimport makanan bersih.

 

"Kami menjangkakan inflasi makanan akan mencatatkan 4.5% untuk 2022 (2021: +1.6%) manakala IHP bukan makanan meningkat lebih perlahan sebanyak 1.9% berbanding 2.8% yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

 

"Seperti yang dinyatakan dalam laporan tematik kami sebelum ini, penurunan inflasi bahan api akan mengatasi kenaikan inflasi makanan, justeru mengehadkan tekanan inflasi keseluruhan di Malaysia," jelasnya. - DagangNews.com