Kadar inflasi Malaysia turun 1.9% | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi Malaysia turun 1.9%

barang dapur

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Kadar inflasi Malaysia turun 1.9% berdasarkan indeks harga pengguna (CPI) berbanding tahun sebelumnya berikutan penurunan dalam sektor pengangkutan.

Penurunan sektor pengangkutan didorong oleh harga bahan api yang lebih rendah.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sektor pengangkutan menurun sebanyak 14.3%.

Jelas beliau, CPI tanpa bahan api berada pada kadar positif iaitu 0.2% bagi Jun 2020. 

“Penurunan keseluruhan indeks didorong oleh penurunan dalam pengangkutan (-14.3%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.6%), pakaian dan kasut (-1.1%) serta perabot, kelengkapan rumah dan penyelenggaraan rumah harian (0.2%) yang mencatatkan jumlah keseluruhan 45.7%.

“CPI tanpa bahan api menunjukkan kadar positif, 0.2% pada Jun 2020 berbanding 0.1% bagi Mei 2020,” katanya dalam satu kenyataan.  

CPI tanpa bahan api merangkumi kesemua barang dan perkhidmatan kecuali petrol tanpa plumbum RON95, RON97 dan diesel.

Bagi suku kedua tahun 2020, CPI menurun sebanyak 2.6% kepada 118.2 berbanding 121.3 bagi tempoh sama untuk tahun sebelumnya. 

CPI bagi suku kedua 2020 pula menurun sebanyak 3% berbanding suku pertama tahun sama. 

Bulan lalu menyaksikan CPI turun untuk kali keempat dengan April mencatatkan indeks terendah iaitu 2.9% kepada 117.6 sejak 2010. - DagangNews.com