Kadar inflasi Ogos 2022 di Malaysia kini 4.7% | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi Ogos 2022 di Malaysia kini 4.7%

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 23 Sept - Malaysia mencatatkan peningkatan kadar inflasi pada bulan Ogos iaitu 4.7% berbanding Julai lalu sebanyak 4.4%. 

 

Kadar inflasi masih tinggi berikutan fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api

 

BACA : Kadar inflasi Malaysia pada Ogos sebanyak 4.7% adalah antara yang paling rendah di dunia - Mustapa

 

Daripada kiraan Januari hingga Ogos 2022, inflasi negara pula berada di paras 3.1%, menurut data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan hari ini.



 

dosm

 


Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi bulan Ogos 2022 menyederhana kepada 0.2% berbanding 0.4% pada bulan Julai 2022.

 

Ini terutamanya disumbangkan oleh kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol dan kumpulan Pengangkutan yang meningkat lebih rendah berbanding bulan sebelumnya.

 

"Ia masih selari dengan jangkaan pasaran untuk kadar inflasi sebanyak 3.2% bagi tahun 2022. Ini didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, harga komoditi yang masih berada pada tahap yang tinggi dan gangguan dalam rantaian bekalan global,' kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato' Seri Mustapa Mohamed.

 

Di antara kumpulan yang mencatat peningkatan yang tinggi bagi tempoh Januari-Ogos 2022 adalah kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (5.1%), Pengangkutan (4.5%) dan Restoran & Hotel (4.0%).

 

Peningkatan kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol pada tempoh Januari-Ogos tahun 2022 disumbangkan terutamanya oleh peningkatan subkumpulan Daging (9.2%), diikuti oleh Susu, keju & telur (7.3%).

 

Kumpulan Pengangkutan pula mencatat peningkatan sebanyak 4.5% disebabkan terutamanya oleh kenaikan harga purata minyak mentah Brent sebanyak 58.4% dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

 

Kumpulan Restoran & Hotel turut mencatat kenaikan 4.0% bagi Januari-Ogos tahun 2022 berbanding 0.2% pada tempoh yang sama tahun lepas.

 

Pada Ogos 2022 kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol, yang meningkat sebanyak 7.2%. Kenaikan ini didorong oleh komponen Makanan di luar rumah yang meningkat sebanyak 8.4% manakala Makanan di rumah meningkat sebanyak 6.4%.

 

Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa barangan makanan yang mencatatkan penurunan harga berbanding bulan Julai 2022 seperti ayam (-3.8%), ikan siakap (-2.4%) dan sayur-sayuran seperti timun (-4.6%), kacang buncis (-3.6%) dan kubis bulat (-2.6%). - DagangNews.com