Kadar pengangguran Malaysia kembali meningkat pada Jun, 4.8% | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran Malaysia kembali meningkat pada Jun, 4.8%

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Kadar pengangguran di Malaysia kembali meningkat kepada 4.8% pada Jun 2021 dengan 768.7 ribu orang penganggur daripada 4.5% pada Mei 2021, menurut Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Jun dan suku kedua tahun 2021 (2Q21) yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, dalam usaha negara untuk terus melandaikan peningkatan kes harian baharu COVID-19, kedudukan tenaga buruh pada Jun 2021 berdepan cabaran. 

 

Katanya, lonjakan kes harian membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada bulan tersebut di mana hanya sektor ekonomi dan perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi.

 

Ini meliputi aktiviti perniagaan berkaitan dengan makanan & minuman, utiliti, keselamatan, penjagaan kesihatan & perubatan, pengangkutan, perbankan, komunikasi dan aktiviti pembinaan penting. 

 

“Perniagaan kecil seperti gerai atau penjaja makanan dan minuman turut dibenarkan beroperasi dalam tempoh tersebut. Justeru bilangan penduduk bekerja menurun sebanyak 0.5% kepada 15.30 juta orang (Mei 2021: 15.37 juta orang) dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk jatuh sebanyak 0.4 mata peratus kepada 65.0%. 

 

“Bilangan penganggur naik sebanyak 40.6 ribu orang (+5.6%) kepada 768.7 ribu orang (Mei 2021: 728.1 ribu orang). Tahun ke tahun, kadar pengangguran menurun sebanyak 0.1 mata peratus berbanding 4.9% pada Jun 2020 manakala bilangan penduduk bekerja berkurang sebanyak 4.6 ribu orang (Jun 2020: 773.2 ribu orang),” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam pada itu, sebahagian daripada tenaga buruh telah beralih kepada kumpulan tidak aktif yang membawa kepada penurunan dalam tenaga buruh kepada 16.07 juta orang berbanding Mei 2021 iaitu 16.10 juta orang. 

 

Penurunan dalam tenaga buruh ini adalah yang pertama direkodkan sejak April 2020 berikutan pandemik melanda negara. 

 

Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih rendah dicatatkan iaitu pada 68.3% berbanding 68.5% pada Mei 2021, tambah Mohd Uzir.

 

Bilangan penduduk bekerja mengikut sektor ekonomi pada Jun 2021 menunjukkan kesemua sektor ekonomi mencatatkan penurunan guna tenaga dengan sektor Perkhidmatan merekodkan pengurangan bulan ke bulan buat pertama kalinya setelah mencatatkan peningkatan selama dua belas bulan. 

 

Pada masa yang sama, pelaksanaan PKP Penuh sepanjang Jun telah menyebabkan bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat dengan ketara sebanyak 661.4 ribu orang kepada 801.1 ribu orang berbanding Mei 2021, 139.6 ribu orang). 

 

Situasi yang sama juga pernah dialami ketika pelaksanaan pertama PKP tahun lepas di mana berlaku peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu.

 

Bagi sepanjang 2Q21, bilangan tenaga buruh berkurang sebanyak 36.1 ribu orang kepada 15.97 juta orang berikutan penurunan bilangan penduduk bekerja dan penganggur. 

 

Bilangan penduduk bekerja berkurang sebanyak 0.2% kepada 15.21 juta orang terutamanya dalam sektor Perkhidmatan, Pertanian serta Perlombongan dan Pengkuarian. 

 

Kadar pengangguran pada suku kedua kekal 4.8% yang mencatatkan bilangan penganggur seramai 764.9 ribu orang berbanding 1Q21 seramai 771.8 ribu orang. 

 

Dari segi kedudukan pengangguran mengikut negeri, lima negeri yang merekodkan kadar pengangguran tertinggi pada 2Q21 adalah Labuan (8.8%), Sabah (8.7%), Perlis (5.3%), Kelantan (4.8%) dan Selangor (4.4%). 

 

Sementara itu, negeri Pulau Pinang (73.5%), Kuala Lumpur (73.4%), Selangor (74.9%), Sarawak (69.4%) dan Sabah (66.7%) mencatatkan KPTB yang tertinggi pada suku tersebut. - DagangNews.com