Kadar pengangguran susut 4.8%, belia menganggur bertambah 50,000 | DagangNews Skip to main content

Kadar pengangguran susut 4.8%, belia menganggur bertambah 50,000

 


KUALA LUMPUR 8 April - Kadar pengangguran bagi Februari 2021 menurun kepada 4.8% berbanding bulan sebelumnya dengan bilangan pengangur seramai 777,500 orang. 

 

Pada bulan tersebut, jumlah pengangur berkurangan 5,000 orang berbanding Januari, 782,500 orang, menurut statistik tenaga buruh Malaysia bagi Februari 2021 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan hari ini. 

 

Bagaimanapun, kadar itu meningkat daripada 3.3% bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan bilangan penganggur berjumlah 525,200 orang. 

 

Kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun juga meningkat 0.4% pada Februari 2021 kepada 13.9% berbanding Januari. 

 

Jumlah belia menganggur meningkat 52,400 orang kepada 347,600 orang berbanding yang direkodkan pada bulan sebelumnya, seramai 295,300. 

 

Sebaliknya kadar pengangguran belia yang berumur 15 hingga 30 tahun kekal 9.2%.

 

Menurut kenyataan itu lagi, jumlah penganggur aktif yang ditakrifkan sebagai orang yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan, berkurangan 9,800 orang kepada 647,400 orang.

 

Mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan menyumbang 50.6% daripada jumlah penggangur aktif.

 

Sementara itu, sebanyak 11.3% penganggur aktif berada dalam pengangguran jangka panjang iaitu bagi tempoh lebih dari setahun.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, melihat situasi tenaga buruh pada Februari 2021, bilangan penduduk bekerja meningkat 33,300 orang bulan ke bulan kepada 15.27 juta orang, trend peningkatan selama tiga bulan berturut-turut.

 

"Dengan pembukaan semula lebih banyak aktiviti ekonomi sejak Februari 2021 akan mendorong lebih banyak permintaan dalam ekonomi dan seterusnya menyuntik impak positif terhadap pasaran buruh. 

 

"Ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kerana lebih ramai tenaga kerja diperlukan untuk menyokong operasi perniagaan," katanya. 

 

Menurut beliau, secara keseluruhannya, dengan pemulihan ekonomi yang berterusan dan kesan positif terhadap penambahbaikan pasaran buruh, dijangka permintaan buruh akan terus berkembang secara marginal dan penawaran buruh akan kekal kompetitif.

 

"Pasaran buruh akan terus pulih dengan petunjuk ekonomi yang semakin baik, digambarkan melalui peningkatan tahun ke tahun Indeks Pelopor Januari 2021 sebanyak 8.2%," katanya. - DagangNews.com