KUALA LUMPUR 9 Mac - Konflik Rusia-Ukraine dan perjanjian Amerika Syarikat (AS)-Iran dijangka menyaksikan peningkatan yang kukuh dan mampan dalam kadar pengangkutan kapal tangki tahun ini, menurut CGS-CIMB Research.
Firma itu berkata, larangan ke atas minyak mentah Rusia boleh mempercepatkan pemulihan kadar kapal tangki apabila kapal dialihkan ke destinasi perkapalan yang lebih jauh.
Jelasnya, permintaan kapal tangki meningkat lebih daripada 7.1% tahun ini kerana eksport Rusia, diasingkan di AS dan Eropah, dihantar ke destinasi lebih jauh, termasuk China.
"Menambah kepada permintaan tangki ini, apabila Eropah menggantikan import minyak mentah Rusia dengan sumber minyak mentah yang lebih jauh.
"Iran juga boleh menyumbang kepada tambahan 3.8% daripada eksport minyak mentah laut jika perjanjian nuklear dipersetujui, berdasarkan anggaran kami," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam tempoh 2 minggu selepas tercetusnya permusuhan Rusia-Ukraine, kadar pengangkutan kapal tangki mentah aframax meningkat di pelabuhan eksport Rusia di Laut Hitam, Laut Baltik dan Timur Jauh, serta di Laut Utara.
Bagaimanapun, sebelum perang bermula, pembrokeran perkapalan, Clarksons sudah menjangkakan pemulihan dalam kadar kapal tangki pada 2022, dengan permintaan batu tan kapal tangki sebanyak 7.1% berkemungkinan meningkat buat kali pertama dalam tempoh 3 tahun.
Ini berdasarkan kepada pemulihan dalam pertumbuhan import China yang kukuh dengan pengeluaran minyak mentah Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC, justeru, pertumbuhan permintaan melebihi 3.5% kadar pertumbuhan armada kapal tangki yang sederhana.
Dari segi bekalan, CGS-CIMB berpandangan, jumlah kapal tangki global mungkin meningkat sekurang-kurangnya 3.5% pada tahun ini atau menurun disebabkan Sovcomflot (Rusia) yang memiliki 1.5% daripada armada global kemungkinan tidak dibenarkan berdagang di luar negara dan jika armada yang sudah berusia dan kini berkhidmat untuk eskport minyak Iran secara haram dibatalkan, ia akan mengurangkan 2.6% daripada jumlah kapal tangki minyak mentah global.
"Selepas musim sejuk yang panjang dengan kadar kapal tangki yang rendah pada separuh kedua 2020 dan 2021, akhirnya mungkin sudah sampai masanya untuk pasaran perkapalan kapal tangki minyak mentah beroperasi," katanya.
Menurut firma itu, dalam kalangan pemain tempatan, AET yang merupakan cabang perkapalan milik penuh MISC Bhd. boleh mendapat manfaat daripada peningkatan kadar pengangkutan aframax berikutan meletusnya perang Rusia-Ukraine kerana 40% daripada armada aframaxnya berdagang di pasaran spot berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, AET tidak menjalankan perniagaan di pelabuhan Laut Hitam, Laut Baltik atau Laut Utara, yang mana kekuatan kadar aframax adalah terbesar selepas tercetusnya permusuhan Rusia-Ukraine.
"Jika kekuatan kadar pengangkutan aframax melimpah kepada kelas kapal VLCC dan suezmax (juga disebabkan potensi pemulangan tong Iran), dan merebak dengan lebih meluas ke laluan aframax di luar pelabuhan Rusia, AET mungkin mendapat lebih banyak manfaat," jelasnya.
Secara dasarnya, AET memiliki 42 kapal tangki minyak mentah, iaitu 8 VLCC (dengan 2 pembinaan baharu VLCC akan dihantar pada 2022 dan 3 pada 2023), 6 suezmax dan 28 aframax setakat 31 Disember 2021.
Firma itu berkata, MISC pula tidak mempunyai pendedahan ketara dalam pasaran tangki gas asli cecair (LNG) dengan hanya 4 daripada 30 kapal tangki LNG di bawah pajakan tempoh sederhana, manakala selebihnya dalam tempoh jangka masa panjang.
Ia juga mendapati kapal tangki LNG ini juga tidak banyak bergerak di sebalik perang Rusia-Ukraine.
Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengulangi saranan 'tambah' terhadap MISC dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM8.23 daripada RM7.99 sebelum ini. - DagangNews.com