Kadar Purata Tempoh Penginapan 2020 diunjur 25.4% | DagangNews Skip to main content

Kadar Purata Tempoh Penginapan 2020 diunjur 25.4%

Hotel

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Feb. - Kadar Purata Tempoh Penginapan (AOR) pada 2020 diunjur sebanyak 25.4% dan 27.8% pada 2021.

 

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berkata, unjuran tersebut bagaimanapun tidak mengambil kira pelaksanaan PKP 2.0.

 

"Kementerian telah bekerjasama dengan persatuan-persatuan pemain industri khususnya Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan memantau prestasi Kadar Purata Tempoh Penginapan (AOR) hotel semasa pandemik COVID-19 ini.

 

"Unjuran bagi tahun 2020 ialah 25.4%, manakala bagi tahun 2021 adalah 27.8%. Namun demikian, unjuran ini tidak mengambil kira pelaksanaan PKP 2.0," jelas MOTAC dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam kenyataan sama, MOTAC turut menjelaskan kekeliruan yang dibangkitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mendakwa unjuran AOR yang dikeluarkan MOTAC sebanyak 61.1% pada 2020 dan 58.4% pada 2021 adalah tidak masuk akal.

 

Jelasnya, unjuran tersebut adalah palsu dan tidak realistik yang akan merosakkan keyakinan rakyat.

 

Jelas MOTAC, unjuran yang diutarakan tersebut adalah unjuran sebelum pandemik COVID-19 melanda negara dan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan pelaksanaan semula PKP 2.0.

 

"Kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil maklum cabaran yang dihadapi oleh penggiat industri pelancongan dan kebudayaan khususnya pengusaha hotel berikutan pandemik COVID-19. 

 

"Kerajaan telah melaksanakan langkah terbaik untuk mengimbangi kelangsungan pengusaha industri pelancongan negara dan juga keselamatan serta kesihatan rakyat.

 

"Dalam usaha membantu penggiat industri pelancongan, kementerian sentiasa prihatin terhadap cabaran yang dihadapi melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan bagi menangani bersama cabaran yang dihadapi penggiat industri," tambah MOTAC lagi. - DagangNews.com