Skip to main content

Kaedah menzahirkan kecintaan pada Nabi SAW

Oleh DR. AZRI BIN BHARI

 

 

 

TANGGAL 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh yang penting dalam catatan sejarah masyarakat Islam dengan kelahiran dan kedatangan Nabi SAW yang merupakan rahmat dan anugerah teragung dari Allah SWT kepada alam semesta.

 

Lazimnya seluruh masyarakat Islam di Malaysia akan menyambut dengan mengadakan pelbagai program kerohanian dan kemasyarakatan seperti pembacaan qasidah, selawat, berzanji, kuliah, ceramah, forum dan lain-lain lagi yang dirancang untuk menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas kelahiran insan agung dan mulia ini.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’: 107)

 

Nabi SAW adalah seorang insan yang hebat dan keunggulan keperibadian Nabi SAW sebagai ketua kepada keluarga, masyarakat dan negara, apatah lagi umat manusia di seluruh alam tidak dapat ditandingi oleh tokoh, pemimpin dan sesiapa pun yang lain.

 

Michael H Hart seorang penulis dan pengkaji barat turut memperakui kehebatan dan ketokohan Nabi SAW dalam karyanya ‘100 Most Influential People In The World’ dengan menobatkan Nabi SAW sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia dan menjadi pemimpin agung sepanjang zaman.

 

Masyarakat Islam pastinya mencintai Nabi SAW iaitu seorang insan yang banyak berkorban dalam usaha menyebarkan dakwah Islamiah. Insan agung yang sentiasa berusaha mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam.

 

Terdapat beberapa kaedah dan cara yang dianjurkan oleh Islam dalam menzahirkan dan membuktikan kecintaan kepada Nabi SAW yang boleh diusahakan dan dilakukan dalam kehidupan seharian.

 

Pertama, mencintai Nabi SAW melebihi diri sendiri dan manusia lain sama ada ibu bapa, isteri, suami, anak, kaum kerabat dan kawan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri mereka sendiri” (Surah al-Ahzab: 6).

 

Seterusnya Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya” (Riwayat Muslim).

 

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang akan membuatkan seseorang itu merasai kemanisan iman iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan benci kembali kepada kekufuran sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

 

 

masjidil nabawi

 

 

Kedua, mengamalkan sunnah Nabi SAW. Tanda mencintai seseorang ialah wujud keinginan untuk sentiasa dekat dan bersama dengannya, manakala dalam konteks mencintai Nabi SAW, cara terbaik adalah dengan mengikut sunnah yang boleh dipelajari daripada hadis sahih serta sirah hidup Nabi SAW.

 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad), jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku (Rasulullah), nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Surah Ali Imran: 31).

 

Seterusnya, firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah" (Surah al-Ahzab: 21).

 

Justeru, marilah melakukan perubahan dengan menjadikan Nabi SAW sebagai role model seterusnya menjunjung sunnah Nabi SAW sebagai bukti perhambaan yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT.

 

Ketiga, memperbanyakkan selawat kepada Nabi SAW. Selawat tidak wajar hanya dizahirkan pada sambutan kelahiran Nabi SAW sahaja, tetapi seharusnya dilakukan secara berterusan sehingga menjadi rutin dalam kehidupan seharian. Allah SWT dan para malaikat turut berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkan salam kepadanya” (Surah al-Ahzab: 56).

 

Seterusnya terdapat kelebihan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali Allah SWT berselawat ke atasnya sepuluh kali” (Riwayat Muslim).

 

Kesimpulan, meraikan Maulidur Rasul sempena memperingati kelahiran utusan Allah SWT yang menjadi rahmat kepada sekalian alam sewajarnya meningkatkan keazaman dan membuktikan kecintaan kepada Nabi SAW.    - DagangNews.com

 

 

 

DR. AZRI BIN BHARI adalah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.