Kaji semula agihan dana PENJANA | DagangNews Skip to main content

Kaji semula agihan dana PENJANA

Agil Faisal

Agil Faisal

 

KUALA LUMPUR 29 Jun – Persatuan-persatuan mewakili peniaga kecil dan usahawan meminta kerajaan mengkaji semula kaedah pemberian dana di dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Berjangka Pendek (PENJANA). 

Ini termasuk dana bagi Kempen E-Dagang Mikro & PKS sebanyak RM70 juta, dan Dana Penjana Shop Malaysia Online juga RM70 juta, yang menimbulkan tanda-tanya kerana melibatkan sebilangan kecil penerima manfaat dan juga entiti multinasional.

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong menyeru kerajaan supaya mengutamakan pengagihan insentif bantuan kepada syarikat e-dagang tempatan sahaja untuk memacu industri lebih lagi.

“Syarikat e-dagang tempatan kita tidak sekuat pemain e-dagang asing yang beroperasi di Malaysia dengan sokongan kewangan besar dari syarikat induknya, kepakaran melangkaui sempadan dan kelebihan teknologi.

"Malaysia memiliki ekosistem yang kuat dengan pemain tempatan termasuk beberapa syarikat yang sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Kempen `Beli-belah Dalam Talian Malaysia’ sepatutnya menjadi medan peluang bagi pemain tempatan kita untuk mendaki kedudukan yang sama dengan gergasi e-dagang asing ini,’’ katanya dalam kenyataan di sini.

Kerajaan pada 5 Jun lalu, yang menyatakan sebanyak RM70 juta diperuntukkan daripada Bajet negara untuk disepadankan dengan platform-platform e-dagang, bermula Ogos hingga September ini.

Matlamatnya adalah mengalakkan lagi beli-belah secara dalam talian dengan kod-kod promosi dan pelbagai baucar diskaun yang disediakan menerusi platform-platform e-dagang.

BERI KEUTAMAAN KEPADA TEMPATAN

Sementara itu, Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB Malaysia) menyarankan kepada Kerajaan agar mengolah semula kedua-dua dana yang masing-masing berjumlah RM70 juta itu supaya dibuka kepada lebih banyak platform e-dagang dan bukan hanya eksklusif kepada 10 syarikat sahaja. 

Presiden GMB Malaysia, Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, platform e-dagang besar lebih-lebih lagi milik syarikat gergasi tidak seharusnya membolot geran berbentuk wang ringgit daripada kerajaan tetapi sebaliknya harus lebih kreatif didalam menimba insentif daripada kerajaan.

Katanya, syarikat-syarikat PKS mahupun mikro yg meneraka dan menyediakan platform e-dagang harus diberi keutamaan agar mereka dapat mengembangkan perniagaan di samping mengukuhkan kedudukan syarikat mereka di pasaran tempatan. 

``Ini dapat dilihat ketika awal PKP beberapa syarikat e-dagang tempatan telah berjaya memberikan khidmat yang lebih serasi kepada syarikat mikro tempatan. ``Antara syarikat e commerce tersebut adalah Matdespatch, Bungkusit,  Mymakan, DeliverEat dan Zeptoexpress,’’ ujar beliau kepada DagangNews.com. 

TUMPU KEPADA SURVIVAL PKS

Agil Faisal berkata, ternyata geran kepada syarikat seperti mereka akan lebih bermakna untuk kesinambungan hidup PKS yang terumbang-ambing akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, kerajaan juga perlu meluaskan sektor platform e-dagang yang kini hanya terhad kepada sektor fast moving consumer goods (FMCG) sahaja.

``Sepatutnya tumpuan harus diberikan kepada platform e-dagang industri pelancongan yang sememangnya merudum akibat Covid-19,’’ kata beliau.

Selain itu ujarnya, platform yang dipilih hanya terhad kepada platform Business to Consumer sahaja dan sepatutnya ada juga Business to Business, yang juga penting untuk merancakkan ekonomi negara.

Berkenaan dengan program ‘Adoption’ kepada syarikat mikro yang bakal dikendalikan oleh syarikat gergasi e-dagang, beliau berkata, langkah yang lebih strategik perlu diambil kerana tahap penggunaan dan keperluan digital syarikat mikro adalah amat berbeza mengikut faktor geografi, kesediaan infrastruktur internet, pendidikan dan keperluan.

``Keadaan ini tidak akan mampu disediakan oleh syarikat - syarikat gergasi. GMB menggesa agar syarikat digital PKS tempatan diberi peluang mengambil peranan ini kerana mereka lebih memahami tahap kemampuan syarikat mikro ini,’’ ujarnya.

Agil Faisal berkata, di dalam era ekonomi digital yang serba moden ini sepatutnya mentaliti penggubal dasar haruslah lebih terbuka di dalam menerima produk dan syarikat tempatan dan harus membuang sikap bahawa barangan dan perkhidmatan dari luar adalah lebih bagus. 

``Saranan Perdana Menteri supaya negara tertumpu kepada ekonomi digital sepatutnya merangkumi sepanjang rantaian bekalan dan bukan hanya terhad sebagai pengguna sahaja,’’ kata beliau. – DagangNews.com