Kajian Cisco: Gaya Kerja Hibrid Meningkatkan Kesejahteraan dan Produktiviti Pekerja Di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Kajian Cisco: Gaya Kerja Hibrid Meningkatkan Kesejahteraan dan Produktiviti Pekerja Di Malaysia

Pengarah Urusan, Cisco Malaysia, Hana Raja

BEKERJA secara hibrid telah meningkatkan kesejahteraan, keseimbangan kehidupan bekerja, dan prestasi keseluruhan pekerja di Malaysia, menurut kajian global baharu oleh Cisco.

 

Walaupun telah meraih manfaat daripada tahap produktiviti pekerja yang lebih tinggi, lebih banyak masih perlu dilakukan oleh syarikat untuk membina budaya inklusif dan memupuk pengaturan kerja hibrid sepenuhnya bagi mendorong tahap kesediaan selain mempertingkatkan pengalaman pekerja.

 

Kajian Cisco bertajuk, “Pekerja sudah bersedia untuk kerja hibrid, adakah anda?” (Employees are ready for hybrid work, are you?) mendapati tiga daripada lima (60%) pekerja di Malaysia percaya bahawa kualiti kerja telah bertambah baik.

 

Sejumlah yang sama (55%) mengatakan bahawa produktiviti mereka telah meningkat. Tiga perempat daripada pekerja (75%) juga berpendapat bahawa peranan kerja mereka boleh dilaksanakan dengan jayanya dari jarak jauh, seperti juga di pejabat.

 

Bagaimanapun, tinjauan terhadap 28,000 pekerja dari 27 negara, termasuk lebih 1,011 responden dari Malaysia, mendedahkan bahawa hanya satu daripada lima (20%) pekerja Malaysia berpendapat bahawa syarikat mereka ‘sangat bersedia’ untuk bekerja secara hibrid di masa depan. Ini lebih rendah daripada purata global sebanyak 23%.

 

Pengarah Urusan, Cisco Malaysia, Hana Raja berkata, “dua tahun kebelakangan ini telah menunjukkan kepada kita bahawa kerja bukan lagi tempat yang hendak dituju, tetapi apa yang dilakukan”.

 

Dalam kebiasaan kerja hibrid kata beliau, pekerja dan majikan di Malaysia meraih manfaat ketara daripada peningkatan dalam kesejahteraan pekerja kepada produktiviti dan prestasi kerja yang lebih baik.

 

“Namun demikian, bekerja secara hibrid adalah lebih dari sekadar menyokong kemasukan semula ke pejabat dengan selamat.

 

‘’Pemimpin perlu memikirkan semula cara untuk memupuk budaya inklusif, menempatkan pekerja – berdasarkan pengalaman, keterlibatan dan kesejahteraan mereka – sebagai teras, selain memodenkan rangkaian dan infrastruktur keselamatan mereka untuk menyediakan pengalaman pekerja yang lancar, selamat dan inklusif,” tambah beliau.

 

Bekerja secara hibrid telah meningkatkan kesejahteraan keseluruhan pekerja

Penyelidikan Cisco mengkaji kesan bekerja secara hibrid ke atas lima kategori kesejahteraan – emosi, kewangan, mental, fizikal dan kesejahteraan sosial – di mana lebih tiga perempat daripada responden (79%) mengatakan bekerja secara hibrid dan jarak jauh telah meningkatkan beberapa aspek kesejahteraan mereka.

 

Masa jauh dari pejabat telah meningkatkan keseimbangan kehidupan bekerja untuk 79% pekerja di Malaysia – berbanding purata serantau sebanyak 81%.

 

Jadual kerja yang lebih fleksibel (71%) dan masa berulang-alik yang dikurangkan dengan ketara atau tiada sama sekali (49%) telah menyumbang kepada peningkatan ini.

 

 

cisco

 

 

Kira-kira dua pertiga daripada responden (68%) dapat menjimatkan sekurang-kurangnya empat jam seminggu apabila mereka bekerja dari rumah, manakala lebih satu perempat (29%) menjimatkan lapan jam atau lebih dalam seminggu.

 

Empat daripada lima (82%) responden Malaysia juga mengatakan kesejahteraan kewangan mereka telah bertambah baik, dengan purata penjimatan mencecah lebih RM32,891 (AS$7,488) setahun.

 

Sejumlah besar responden, iaitu 86%, meletakkan penjimatan bahan api dan/atau perjalanan ulang-alik antara tiga tangga teratas mereka dari segi penjimatan, diikuti dengan penurunan dalam perbelanjaan untuk makanan dan hiburan pada 80%.

 

Lebih lapan daripada 10 (83%) percaya bahawa mereka boleh mengekalkan penjimatan ini dalam jangka panjang, manakala 60% akan mengambil kira penjimatan ini apabila mempertimbangkan untuk menukar pekerjaan.

 

Selain itu, tujuh daripada 10 (72%) responden percaya kecergasan fizikal mereka telah bertambah baik apabila bekerja secara jarak jauh. Sejumlah yang sama (69%) mengatakan bekerja secara hibrid telah memberi kesan positif kepada tabiat pemakanan mereka.

 

Sebilangan besar (80%) responden menunjukkan bahawa kerja jarak jauh telah meningkatkan hubungan keluarga manakala 44% daripada responden melaporkan hubungan yang lebih kukuh dengan rakan-rakan.

 

Kepercayaan dan ketelusan adalah kunci dalam membina kerja hibrid yang berjaya di masa depan

Cara bekerja masa depan adalah hibrid, menurut 74% pekerja di Malaysia yang mengatakan bahawa mereka inginkan model kerja hibrid yang menggabungkan kerja jarak jauh dan di pejabat, berbanding kerja jarak jauh sepenuhnya (22%) dan di pejabat sepenuhnya (5%).

 

Walau bagaimanapun, ketidakpastian tentang gaya kerja yang berbeza mungkin memberi kesan kepada keterangkuman dan keterlibatan.

 

Lebih separuh (59%) responden Malaysia percaya tingkah laku pengurusan mikro telah meningkat dengan bekerja secara hibrid dan jarak jauh.

 

 

cisco

 

 

Pihak pengurusan kurang percaya pekerja mereka boleh bekerja secara produktif dan ini merupakan aduan yang kerap dalam pengalaman pekerja.

 

Pengarah Kanan, Tenaga Insan & Komuniti, Cisco, APJC, Anupam Trehan berkata, kepercayaan adalah prinsip teras dalam kebiasaan kerja hibrid, di samping kefleksibelan, dan kepimpinan yang empatetik.

 

“Penyelidikan terbaru kami menunjukkan bahawa lebih banyak perlu dilakukan untuk mengintegrasi sepenuhnya pengaturan kerja hibrid untuk pekerja, terutamanya dalam membina budaya inklusif, dijana oleh infrastruktur teknologi cekap dalam dunia pekerjaan baharu yang jelas lebih digemari oleh pekerja,’’ ujarnya.

 

Katanya, pemimpin dan syarikat perlu komited mengambil langkah yang berpandangan jauh untuk mengekalkan tenaga insan mereka – seperti mendengar, membina kepercayaan dan memimpin dengan empati, kefleksibelan dan kesaksamaan.

 

Pada masa yang sama, teknologi akan memainkan peranan kritikal dalam membolehkan tenaga kerja yang semakin terpelbagai dan teragih di masa depan.

 

Hampir dua pertiga (64%) responden percaya masalah ketersambungan yang kerap berlaku akan mengehadkan kerjaya untuk pekerja jarak jauh.

 

Akibatnya, 82% mengatakan infrastruktur rangkaian adalah penting untuk pengalaman bekerja dari rumah yang lancar. Namun demikian, kira-kira 36% berkata syarikat mereka masih memerlukan infrastruktur rangkaian yang betul.

 

Lebih tiga perempat (76%) responden di Malaysia percaya bahawa keselamatan siber amat penting untuk memastikan bekerja secara hibrid adalah selamat, tetapi hanya 61% berkata syarikat mereka mempunyai keupayaan dan protokol yang sesuai pada masa ini.

 

Hanya 62% berpendapat bahawa semua pekerja di seluruh syarikat memahami risiko siber yang terlibat dengan kerja hibrid, manakala 67% berpendapat pemimpin perniagaan sudah biasa dengan risiko tersebut.

 

Pengarah, Keselamatan Siber, Cisco, ASEAN Juan Huat Koo berkata, teknologi ialah pemboleh utama pertumbuhan di tempat kerja hibrid, dan ia perlu disokong oleh keselamatan bersepadu hujung ke hujung.

 

 

cisco

 

 

Katanya, setiap organisasi harus mengutamakan keselamatan yang berkesan untuk menyokong setiap usaha pendigitalan sambil memastikan keselamatan siber diutamakan dalam seni bina teknologi mereka.

 

“Dalam persekitaran serangan siber (‘attack surface’) yang semakin meningkat hari ini apabila lebih ramai pengguna dan peranti menyambung ke aplikasi korporat, setiap organisasi perlu menambahkan keselamatan dan membina kewaspadaan yang lebih tinggi, dengan membolehkan akses selamat serta melindungi pengguna dan titik akhir dalam rangkaian dan awan,” katanya. – DagangNews.com