Kalau dah buat wasiat, urus pusaka 3 bulan sahaja? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Anekdot Mawarith - 20 September 2021
Wasiyyah

KALAU DAH BUAT WASIAT, URUS PUSAKA 3 BULAN SAHAJA ?

 

 

 

SOALAN ini ditanya kepada saya baru-baru ini. Ada pihak yang bercerita kepada kawan saya bahawa kalau kita dah buat wasiat, maka semua urusan pusaka kita akan selesai dalam tempoh 3 bulan sahaja. Betul ke?, tanya kawan saya ni.

 

Payah saya nak jawab soalan ini dengan jawapan ya atau tidak kerana hakikatnya ada wasiat atau tiada wasiat, bukan itu menjadi faktor penentu urusan pusaka cepat atau lambat.

 

Proses pengurusan pusaka ini terkait dengan undang-undang dan ada pelbagai isu teknikal yang perlu diperhalusi.  

 

Ada saja kes pusaka yang saya temui simati ada buat wasiat semasa hidupnya tapi kesnya bertahun tak selesai.

 

Bagi menjawab isu cepat atau lambat urusan pusaka bila dah ada wasiat, saya akan huraikan hanya dalam konteks pengurusan wasiat di Mahkamah Tinggi Sivil sahaja iaitu bagi orang yang ada wasiat dan hartanya bernilai RM2 juta dan ke atas.

 

Bagi orang yang ada wasiat dan meninggalkan harta bernilai kurang dari RM2 juta, kes itu dibicarakan di Pejabat Pusaka Kecil dan huraiannya Insya-Allah akan saya ceritakan di dalam penulisan minggu depan.  

 

Wasiat yang ingin kita ulas di sini ialah wasiat yang kandungannya ialah berkenaan pelantikan wasi. Kita bukan bercerita tentang wasiat yang membahagikan harta kepada mana-mana pihak.  

 

Sipewasiat masa hidupnya membuat wasiat dan melantik individu atau syarikat amanah sebagai wasinya.

 

Di Malaysia jika wasiat itu menyatakan tentang pelantikan wasi (Pentadbir harta pusaka) dan si pewasiat meninggalkan harta bernilai RM2 juta dan ke atas, maka kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

 

 

Wasiyyah

 

 

Mengikut Akta Probet dan Pentadbiran 1959, pelantikan wasi yang dilantik di dalam wasiat itu adalah berkuatkuasa kecuali jika ada sebab lain yang menjadikan ia tidak berkuatkuasa seperti wasi yang dilantik itu muflis, tidak waras akal fikiran, wasiat itu dibuat secara tipu (fraud) dan sebagainya.

 

Jika tiada sebarang unsur di atas, maka wasi yang dilantik di dalam wasiat tidak kira individu ataupun syarikat amanah adalah sah dan berkuatkuasa.

 

Geran probet akan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil yang mencatatkan nama wasi di dalamnya. Wasi yang dilantik bolehlah menuntut harta pusaka simati seperti akaun bank, kenderaan dan sebagainya.

 

Permohonan pelantikan wasi di Mahkamah Tinggi Sivil ini dalam pengalaman Wasiyyah Shoppe Berhad sekiranya semua dokumen lengkap dan waris bermuafakat, maka geran probet boleh dikeluarkan di dalam tempoh purata antara 1 ke 3 bulan (ini tempoh masa sebelum pandemik dan PKP bermula).

 

Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh pihak tadi apabila dia mengatakan semua urusan pusaka selesai dalam tempoh  3 bulan sahaja jika ada wasiat.

 

Kalau setakat nak mendapatkan Geran Probet, sebelum pandemik melanda, Wasiyyah Shoppe Berhad pernah membantu waris mendapatkan geran probet dari Mahkamah Tinggi Sivil dalam tempoh 14 hari sahaja!

 

Namun jika ada perbalahan di antara waris mengenai wasi yang dilantik di dalam wasiat itu, maka proses perbicaraan untuk mengesahkan wasiat itu akan berlaku di Mahkamah Tinggi Sivil dan kadang-kadang ada kes yang berlanjutan sehingga bertahun-tahun lamanya hanya semata-mata kerana nak mengesahkan pelantikan wasi di dalam wasiat sahaja.

 

Jadi membuat kenyataan bahawa kalau ada wasiat 3 bulan sahaja semua urusan pusaka selesai, adalah  kenyataan yang tidak tepat sama sekali.

 

Sebenarnya bukan faktor kewujudan wasiat itu yang menyebabkan urusan pusaka cepat atau lambat diselesaikan, sebaliknya ada banyak faktor lain yang turut mempengaruhi.

 

Urusan pusaka akan menjadi lambat walaupun ada wasiat jika waris bertelagah dan menentang pelantikan wasi di dalam wasiat itu, waris tidak tahu apa yang nak dibuat dan lambat bertindak,  waris tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan untuk membayar fi profesional awalan (initial fee) pihak yang akan menguruskan wasiat itu, mahkamah tutup kerana pandemik dan wujud keadaan ada waris yang mati sejurus selepas kematian pewasiat sebelum kes dibicarakan. Semua faktor ini mempengaruhi cepat atau lambatnya urusan pusaka selesai.

 

 

Wasiyyah

 

 

Garis masa yang saya ceritakan ini hanyalah meliputi tempoh pengeluaran geran probet sahaja. Fungsi geran probet ialah untuk memberi kuasa kepada wasi bagi menuntut harta pusaka dan mentadbirnya bagi pihak waris yang lain.

 

Kalau harta pusaka yang terlibat ada  hartanah, maka waris perlu pula melalui proses kedua di Mahkamah Tinggi Sivil iaitu permohonan pengeluaran Distribution Order (Perintah Pembahagian).

 

Di dalam Perintah Pembahagian akan tercatat nama siapa waris menerima berapa bahagian dari hartanah tersebut. Waris-waris perlulah bermuafakat pada peringkat ini mengenai kaedah pembahagian hartanah ini sama ada nak diagih ikut faraid atau sama rata atau formula yang lain.

 

Perintah Pembahagian ini pula akhirnya akan dibawa ke Pejabat Tanah untuk didaftarkan iaitu diturun milik dari nama si pewasiat tadi kepada nama waris yang berhak seperti tercatat dalam Perintah Pembahagian.

 

Semua urusan pusaka dianggap selesai hanya apabila semua harta pusaka telah sah diterima atau didaftarkan di atas nama waris yang berhak.

 

 

Wasiyyah

 

 

Berapa lamakah masa yang diambil untuk proses keseluruhan dari peringkat pengeluaran Geran Probet dan Perintah Pembahagian di Mahkamah Tinggi Sivil  sehinggalah nama waris dicatat di dalam geran hartanah?

 

Dalam pengalaman kami, ada wasiat atau tidak ada wasiat, tempoh puratanya ialah di antara 3 hingga 8 bulan. Itu pun dengan syarat semua waris muafakat, faham dan setuju dengan apa yang akan bakal dilalui.

 

Membuat wasiat melantik wasi itu sebenarnya bagus bagi kejelasan (clarity) tentang siapa yang telah diberikan tanggungjawab menguruskan harta pusaka baik individu mahupun syarikat amanah.

 

Namun janganlah ‘oversell’ dengan mengatakan kalau dah buat wasiat, semua urusan pusaka selesai dalam masa 3 bulan. Itu kenyataan yang mengelirukan.

 

Kepada semua pemain di dalam industri perancangan harta saya menyeru supaya berilah maklumat yang tepat dan penjelasan yang jelas kepada masyarakat tentang cabaran utama pengurusan harta pusaka.

 

Janganlah buat kenyataan ringkas dengan niat utama untuk menjual wasiat semata-mata.

 

Jika sesuatu kes pusaka itu berjalan bertahun lamanya sedangkan simati sudah pun membuat wasiat, bukankah waris-waris dan masyarakat yang dimomokkan dengan persepsi ‘buat wasiat 3 bulan selesai semua urusan pusaka’ akan membina pula persepsi negatif, ‘buat wasiat pun kes lambat selesai juga! Baik tak payah buat wasiat.

 

''Orang yang membuat wasiat ni menipu saja rupanya!” Bukankah keseluruhan masyarakat rugi nanti? Tepuk dada tanya iman. Jangan tanya selera sebab selera berpaksikan nafsu!

 

             

ariffinsabirin
Tn Hj Ariffin Sabirin adalah Pengasas dan CEO Wasiyyah Shoppe Berhad

 

 

ariffinsabirin

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ANEKDOT MAWARITH

 

 

 

Portfolio Tags