Skip to main content

Karangkraf labur RM10 juta buka kilang buat pelitup muka di Shah Alam - Hussamuddin

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

SHAH ALAM 12 Ogos - Kumpulan Media Karangkraf melabur RM10 juta untuk membuka kilang pembuat pelitup muka pakai buang, dengan fasa pertama operasi bermula 1 September ini.

Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, matlamat pihaknya ialah menghasilkan pelitup muka berkualiti, bersih dan suci terjamin serta mematuhi piawaan kesihatan dunia untuk pasaran tempatan & eksport ke Timur Tengah.

 

Hussamuddin
                                         Hussamuddin Yaacub

 

Menurut beliau, harga pelitup muka di Malaysia terlampau mahal akibat ketamakan melampau pedagang dan ini menekan para pengguna yang memerlukannya terutama pandemik COVID-19 belum hapus sepenuhnya.

``Insyallah, Karangkraf akan membantu turunkan harga jualan serta bekalkan pelitup muka buatan Malaysia yang berkualiti, terjamin bersih & suci serta memenuhi piawaan kesihatan dunia.

``Mesin-mesin pembuat pelitup muka yang berkelualiti, terjamin bersih dan suci serta memenuhi piawaian keselamatan dan kesihatan dunia sudah siap dipasang di Shah Alam. 

``Operasi produksi komersial akan bermula September ini, Insyallah. Model perniagaan kami adalah Sustainable National Service.

``Saya yakin bila pelitup muka keluaran Karangkraf sudah mula dipasarkan September ini, pengguna di Malaysia akan mendapat faedah dari kejatuhan ketara harga jualan runcit dari harga siling yang agak tinggi sekarang. This profiteering must end,'' tulis beliau dalam ciapan menerusi akaun Twitternya @hussamuddin.

sinar

Kumpulan Media Karangkraf Sdn. Bhd. diasaskan oleh Hussamuddin pada 1978 dan kini menerbitkan akhbar Sinar Harian, selain menjadi kontraktor percetakan akhbar untuk akhbar-akhbar arus perdana lain. - DagangNews.com