Kasturi dilantik Pengarah Urusan Doctor Shield | DagangNews Skip to main content

Kasturi dilantik Pengarah Urusan Doctor Shield

Kasturi Maniam

Kasturi Maniam

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Peneraju InsurTech di Asia Tenggara, JA ASSURE mengumumkan pelantikan Dr. Kasturi Maniam sebagai Pengarah Urusan kepada portal pengendali insurans indemniti profesional perubatan, Doctor Shield.
 
Pelantikan tersebut akan membawa Doctor Shield sebagai peneraju utama kepada semua profesional perubatan di seluruh Malaysia dengan mewujudkan dan memperbaharui insurans indemniti perubatan tahunan.

Dr. Kasturi memiliki pengalaman luas dalam bidang perubatan selain disenangi pesakit dan rakan sejawatnya.

Kepimpinan beliau terserlah dalam aspek pengurusan perubatan setelah memegang jawatan sebagai Ketua Indemniti di AON. 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Doctor Shield JA ASSURE, Japhire Gopi berkata, Dr. Kasturi merupakan individu terbaik untuk mengendalikan bahagian Doctor Shield yang bukan sekadar memahami realiti perniagaan namun memiliki pemahaman mendalam terhadap dunia kedoktoran dan profesional perubatan.

"Kami percaya pengumuman ini merupakan satu lagi contoh pendekatan inovatif kami terhadap insurans indemniti, yang mana kami berusaha menawarkan perlindungan sebenar kepada pelanggan doktor kami," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Doctor Shield mula dilancarkan pada Jun 2019 dan berjaya menarik perhatian golongan profesional perubatan menerusi hebahan mulut ke mulut.

Portal berkenaan berkembang dengan pesat seiring dengan peningkatan jumlah golongan doktor yang mendapatkan perkhidmatan seperti ganti rugi dan indemniti profesional yang dijamin oleh Chubb Insurance.

Tahun lalu, Doctor Shield telah mencipta pelbagai kejayaan menerusi pendekatan JA ASSURE yang mengenepikan kaedah tradisional bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik kepada industri.

Doctor Shield menawarkan proses yang lebih mudah untuk para doktor memilih dan mendapatkan perlindungan insurans yang boleh dilakukan secara dalam talian. - DagangNews.com