Kaunter syarikat pengeluar sarung tangan terus catat kerugian | DagangNews Skip to main content

Kaunter syarikat pengeluar sarung tangan terus catat kerugian

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

nabila@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. -  Syarikat pembuat sarung tangan merupakan antara kaunter yang paling rugi di Bursa Malaysia pada hari Isnin berikutan para pelabur terus mempertimbangkan prospek pertumbuhan mereka yang dilihat lemah.

Pada waktu rehat tengah hari, saham Supermax Corp Bhd dan Top Glove Corp Bhd jatuh ke tahap terendah dalam 16 bulan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Research, Thong Pak Leng berkata, banyak pelabur menjangkakan harga jual sarung tangan akan turun dengan mendadak dan menyebabkan keuntungan pembuat sarung tangan akan turun pada suku berikutnya," katanya di sini hari ini.

Saham Supermax turun 10 sen atau 4.31% kepada RM2.22 manakala Top Glove merosot 10 sen atau 3.64% kepada RM2.65. 

Kossan Rubber Industries Bhd dan Hartalega Holdings Bhd juga turun ke paras terendah dalam tempoh 21 bulan.

Saham-saham syarikat pengeluar sarung tangan yang lebih kecil seperti Careplus Group Bhd, Comfort Gloves Bhd dan Rubberex Corporation (M) Bhd juga jatuh ke paras terendah dalam 16 bulan dengan Careplus turun enam sen atau 4.88% kepada RM1.17; Comfort Gloves turun empat sen atau 3.08% kepada RM1.26 dan Rubberex turun 2.5 sen atau 4.03% kepada 59.5 sen. 

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Perdagangan Rakuten Kenny Yee berkata,  selain menjadi sasaran penjualan pendek, pembuat sarung tangan juga menghadapi prospek pertumbuhan yang lebih lemah.

"Kami menjangkakan aliran menurun akan berterusan kerana sentimen lemah pada sektor ini," katanya,

Hartalega, Supermax, Top Glove dan Kossan muncul sebagai sasaran jualan pendek pada Jumaat lalu.

Sebanyak 1.14 juta saham di Hartalega bernilai RM6.32 juta dijual oleh pelabur. Sementara itu, Kossan menyaksikan para pelabur menjual1.03 juta saham bernilai RM2.38 juta.  -DagangNews.com