Kawal selia kendiri dan beretika siar berita kes bunuh diri adalah penting | DagangNews Skip to main content

Kawal selia kendiri dan beretika siar berita kes bunuh diri adalah penting

KUALA LUMPUR 26 Julai - Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) sangat menganjurkan pengawalseliaan kendiri dalam kalangan pengamal media, pencipta kandungan, dan masyarakat umum dalam melaporkan atau berkongsi berita mengenai kes bunuh diri.

 

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood berkata, tindakan melaporkan kes bunuh diri dengan sewenang-wenangnya berisiko untuk mencetus peningkatan kes-kes tersebut, terutama sekali sekiranya ia disensasikan atau meliputi butiran terperinci mengenai kaedah yang digunakan.

 

 "Forum Kandungan memahami bahawa kes-kes ini perlu dilaporkan. Walau bagaimanapun, pengamal media juga harus peka tentang kesan pelaporan mereka terhadap keluarga mangsa dan juga masyarakat, terutama sekali mereka yang mempunyai kecenderungan yang lebih tinggi untuk bunuh diri," kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Gesaan Mediha adalah berikutan peningkatan jumlah kes bunuh diri di Malaysia yang amat membimbangkan tatkala negara ini terus bertempur melawan COVID-19, pandemik ini telah memberi kesan terhadap kesihatan mental rakyat Malaysia. Keadaan memburuk di tengah-tengah kepincangan ekonomi dan sekatan pergerakan yang menyebabkan ramai terpisah dari keluarga.

 

Antara Januari dan Mei tahun ini, 468 kes bunuh diri dilaporkan kepada polis – lebih kurang tiga kes setiap hari. Ini menunjukkan peningkatan yang ketara dari tahun-tahun sebelumnya, dengan 631 kes yang dilaporkan pada tahun 2020 dan 609 pada tahun 2019.

 

Statistik polis juga menunjukkan bahawa wanita dan orang muda adalah kumpulan yang paling terdedah. Dari 1,708 kematian akibat bunuh diri dari 2019 hingga Mei 2021, 1,427 kes melibatkan wanita sementara 281 mangsa adalah lelaki. Lebih separuh daripada kes ini melibatkan remaja di bawah usia 18 tahun, dengan 872 kematian.

 

Menurut Mediha, Garis Panduan Media Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2017 berkenaan pelaporan kes bunuh diri menunjukkan bahawa laporan media mengenai isu ini, terutama sekali yang disensasikan dan melibatkan butiran yang berlebihan mengenai cara dan lokasi kes bunuh diri, boleh mencetus "peniru" atau copycat suicides.

 

"Sebaliknya, pelaporan yang bertanggungjawab dan beretika mengenai kes bunuh diri dapat mendorong masyarakat untuk mendapat bantuan bagi kesihatan mental mereka melalui perkongsian maklumat berguna dan perbincangan sihat mengenai isu yang penuh stigma ini," ujar beliau.

 

mediha mahmood
MEDIHA MAHMOOD

 

Di Malaysia, Garis Panduan Pelaporan Media Yang Bertanggungjawab (Guidelines for Media Reporting on Suicide) memperincikan beberapa faktor utama yang perlu dipertimbangkan ketika melaporkan kes bunuh diri.

 

Ini termasuk mengelakkan perkongsian butiran tentang kaedah bunuh diri dan imej mangsa serta gambaran bunuh diri sebagai kaedah mengatasi masalah peribadi. Laporan ini juga merangkumi sumber untuk mendapatkan bantuan bagi mereka yang memerlukannya.

 

Dalam pandemik ini, media sosial telah menjadi cara utama bagi rakyat Malaysia untuk terus berhubung antara satu sama lain dan pengguna media sosial turut perlu mempertimbangkan kesan perkongsian mereka dan menilai sama ada sesuatu harus dikongsi atau tidak.

 

"Dalam kesungguhan masyarakat untuk berkongsi berita mengenai kes bunuh diri, ada yang mungkin lupa bahawa berita tersebut adalah tragedi benar yang melibatkan keluarga dan kenalan mangsa.

 

"Pendedahan terhadap kisah bunuh diri boleh mencetus gangguan emosi jadi ianya harus dibicarakan dengan penuh rasa hormat dan empati; elakkan berkongsi kandungan sensasi atau kandungan yang mengecam mangsa atau sesiapa sahaja yang terlibat,” kata Mediha.

 

Mediha menambah bahawa sesetengah wadah media sosial juga mempunyai garis panduan sendiri dalam  membincangkan isu bunuh diri, dan mendorong lebih ramai pencipta kandungan dan pengguna untuk menggunakannya sebelum menyiarkan atau berkongsi kandungan mereka.

 

"Forum Kandungan dipertanggungjawabkan untuk menggaris standard kandungan beretika untuk industri dan kami sentiasa mendukung kewartawanan yang bertanggungjawab dan menggalakkan wacana digital yang lebih baik mengenai isu bunuh diri," katanya.

 

Garis panduan untuk pelaporan media mengenai tingkah laku bunuh diri oleh Bahagian Kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh didapati di sini: https://www.moh.gov.my/index.php/database_stores/attach_download/554/56.

 

Sila kunjungi http://www.cmcf.my/overview untuk maklumat lebih lanjut mengenai Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia. - DagangNews.com