Skip to main content

Kawalan kendiri jaga kesihatan mental hadapi COVID-19

Walaupun anda sudah dapat 2 dos vaksin, tidak bermakna anda kebal dari COVID-19 jika tidak menjaga SOP. Gambar - Mulyadi

 

 

Oleh ZATUL HIMMAH ABDUL KARIM dan NORAZLAN ANUAL

 

 

KAWALAN kendiri atau self-control ialah satu kemampuan untuk mengawal diri daripada melakukan sebarang perkara atau aktiviti.

 

Aktiviti ini selalunya adalah demi sesuatu kebaikan atau peraturan yang harus ditetapkan atau diterapkan dalam diri sendiri.  Antara kawalan kendiri yang terbaik ialah sifat sabar dalam menghadapi dugaan.

 

Pada masa ini, seluruh dunia diuji dengan pandemik  COVID-19 yang telah mengorbankan jutaan nyawa. 

 

Dalam Islam, manusia akan sentiasa diuji Allah SWT dan hanya mereka yang beriman serta bersabar akan berjaya mengharunginya, bahkan akan dilimpahi pelbagai nikmat dan kelebihan di sebalik ujian ini.

 

Dalam menghadapi ujian ini, sifat sabar adalah sangat penting untuk diterapkan. Kenapa sifat sabar itu sangat ditekankan di dalam Islam? Sifat sabar ini sebenarnya akan mendekatkan jiwa hamba-Nya kepada yang Maha Esa. 

 

Tidak mungkin seseorang itu bersabar melainkan dia teringat kepada Penciptanya kerana sabar adalah penawar yang boleh mendekatkan diri kepadaNya.

 

Firman Allah S.W.T.:  Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan nasihat menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran, (Surah al-Asr: 1 – 3).  Kepada orang-orang yang bersabar, Allah S.W.T. juga bakal mengurniakan kebaikan berterusan dengan pahala yang berpanjangan.

 

Sebaliknya, jika kita gagal menangani sesuatu situasi atau permasalahan dengan sabar, maka  dua perkara berikut akan berlaku; gangguan emosi dan gangguan pemikiran. 

 

Gangguan emosi dapat dilihat daripada segi luahan kebimbangan, cepat tersinggung, rasa sedih dan menangis, hilang keseronokan sehingga menyebabkan kurang selera makan dan mengalami masalah tidur. 

 

Pada masa yang sama, gangguan pemikiran pula ditunjukkan melalui pemikiran negatif, tidak dapat fokus serta tidak dapat membuat keputusan dengan baik. Ia sudah tentu mengakibatkan kesihatan mental kita terjejas apabila mencapai tahap yang tidak terkawal. 

 

Kesihatan mental adalah situasi di mana individu menyedari potensinya untuk berdaya tindak terhadap tekanan kehidupan, boleh bekerja dengan produktif dan menyumbang kepada masyarakat. 

 

 

entah

 

 

Oleh yang demikian, ia akan menjurus kepada keupayaan individu untuk berfikir, merasa dan bertindak dengan baik, menghadapi masalah dan tahu mengatasinya.

 

Namun, apabila emosi dan pemikiran kita tidak stabil, kesihatan mental akan menurun dan menyebabkan isu lain kemudiannya timbul.

 

Sebagai individu yang sihat, kita perlu sedar dan faham sama ada kita mempunyai tahap kesabaran yang tinggi yang menjurus kepada emosi yang stabil serta pemikiran yang sentiasa positif. 

 

Ini adalah penting kerana ia adalah petunjuk bahawa kesihatan mental kita juga berada pada tahap yang baik.

 

Cara yang paling mudah untuk kita mengesan tahap kesabaran dan kesihatan mental kita adalah dengan mengenal pasti teknik komunikasi seharian kita. 

 

Apabila tona suara kita berubah atau struktur ayat dalam komunikasi harian mengarah kepada konotasi negatif, atau kita bertindak untuk mendiamkan diri, kita sebenarnya mengalami gangguan emosi hasil dari pemikiran yang tidak terkawal.

 

Kita mungkin merasa ia adalah satu bentuk luahan yang memberi kepuasan kepada kita, namun sebenarnya kita berada dalam emosi dan pemikiran yang tidak terkawal.

 

Cara mengatasi kedua-dua gangguan tersebut ialah dengan melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari.

 

Aktiviti senaman ini boleh dipanjangkan kepada sejam sehari agar dapat meningkatkan hormon endorphin dan serotonin.  Ia akan membuatkan seseorang itu lebih tenang, gembira, cergas serta bertenaga.

 

Amalan zikir dan membaca al-Quran adalah satu teknik yang diajar Islam untuk mengawal dan mengatasi kedua gangguan ini. Islam mengajar agar amalan zikir tidak ditinggalkan sebaliknya ditingkatkan pengamalannya. 

 

 

entah

 

 

Mengekalkan kawalan kendiri pada tahap terbaik ialah dengan melakukan rutin harian yang lain juga seperti membaca buku, berkebun, memakai pakaian dengan warna yang cerah, mendapat tidur yang cukup,  dan apa jua aktiviti yang disukai kerana aktiviti yang sebegini dapat mengelakkan kebosanan, keresahan serta berfikir secara berlebihan.

 

Kunci utama di sini ialah apa juga teknik yang dibuat serta diamalkan, akan menjadikan seseorang itu lebih positif dan menolak semua yang berunsur negatif yang boleh merosakkan emosi dan pemikiran. Ia adalah satu keyakinan yang perlu dibuat segera untuk melihat hasilnya.

 

Adalah sangat penting untuk masyarakat kekal positif, mengambil ikhtibar dan mencari potensi diri dengan cara yang positif bagi melawan emosi serta pemikiran negatif yang boleh merosakkan diri. 

 

Jika kita tidak sabar, ia juga akan menjadi punca kawalan kendiri kita menjadi lemah. 

 

Kawalan kendiri ini beroperasi pada korteks prefrontal pusat perancangan, penyelesaian masalah dan pengambilan keputusan otak.

 

Oleh itu adalah penting untuk kita aktifkan kawalan kendiri. Kita perlu fokus kepada pemikiran positif dan mengakui sendiri jika kita dalam keadaan tertekan serta mengambil tindakan atas permasalahan yang berlaku. 

 

Kebiasaannya otak mudah tertekan dan terganggu apabila menghadapi situasi yang tidak diketahui serta tidak pasti seperti situasi pandemik COVID-19 ini.

 

Hakikatnya, sedar atau tidak, situasi pandemik COVID-19 ini sedang mendidik kita untuk sentiasa bersedia pada tahap kesabaran paling optimum dengan memastikan emosi dan pemikiran kita sentiasa terkawal terutamanya dalam menghadapi perubahan norma kehidupan baharu. DagangNews.com

 

 

 

Zatul Himmah Abdul Karim dan Norazlan Anual adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka