Kawan Food melabur RM7.28 juta pasang tenaga solar di ibu pejabat | DagangNews Skip to main content

Kawan Food melabur RM7.28 juta pasang tenaga solar di ibu pejabat

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Syarikat pengeluar makanan, Kawan Food Berhad melabur sebanyak RM7.28 juta untuk pemasangan solar fotovoltan (PV) di ibu pejabatnya, di Pulau Indah, Selangor.

 

Pemasangan itu juga merangkumi Sistem Pengurusan Prestasi Tenaga (EPMS) yang dibangunkan oleh Plus Xnergy Holdings Sdn. Bhd., menurut kenyataan bersama mereka, hari ini.

 

“Kami telah mencatatkan perolehan yang kukuh dan menyaksikan lonjakan tempahan makanan sejuk beku secara dalam talian dari kedua-dua pasaran tempatan dan global ketika pandemik ini.

 

“Salah satu langkah utama kami adalah untuk melabur di dalam penyelesaian solar, yang baru-baru ini telah lengkap dipasang pada suku pertama 2021 (1Q21), dengan unjuran penjimatan bernilai RM1 juta setiap tahun.

 

“Secara keseluruhannya, kami gembira dapat bekerjasama dengan Plus Xnergy. Pendekatan mereka profesional, memberikan nasihat berdasarkan pengalaman mereka yang luas, menghasilkan peralihan tenaga lestari yang lancar buat kami,” jelas Pengurus Kanan Kilang Kawan Food Manufacturing Sdn. Bhd., Andy Yeap.

 

Andy Yeap
Andy Yeap

 

Pelaburan tenaga solar Kawan Food itu melibatkan EPMS oleh Plus Xnergy dikenali sebagai SOURCE, yang menggunakan teknologi Artificial Intelligence of Things (AIoT).

 

Ia menguruskan permintaan tenaga bangunan, seterusnya menghasilkan penjimatan tenaga yang optimum.

 

Walaupun terdapat cabaran pandemik COVID-19, namun skim NOVA Pemeteran Tenaga Bersih (NEM 3.0), sebuah inisiatif untuk meningkatkan penggunaan solar buat sektor komersial dan perindustrian menyaksikan kadar penerimaan 100% dalam tempoh hanya tiga bulan selepas dilancarkan pada April 2021.

 

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Plus Xnergy, Ko Chuan Zhen, pelbagai pihak menggunakan NEM NOVA, di mana kadar penerimaan itu menunjukkan pemasangan tenaga solar semakin popular dalam kalangan perniagaan.

 

Ko Chuan Zhen
Ko Chuan Zhen

 

“Saya berharap kerajaan akan mempertimbangkan peningkatan kuota kepada julat antara 1000MW hingga 3000MW untuk menggalakkan minat baharu dan memenuhi permintaan semasa.

 

“Kami menjangkakan tawaran pekerjaan akan berlaku pesat dalam sektor tenaga bersih yang sedang membangun memandangkan banyak industri mengiktiraf kadar pulangan solar,” katanya. - DagangNews.com