Skip to main content

Kazakhstan lantik TMCB terajui Hab Perdagangan Qazaq di Malaysia

Nur-Sultan adalah ibu negara Kazakhstan.

 

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Tanah Melayu Capital Berhad (TMCB), syarikat tempatan yang mempunyai kepakaran dalam teknologi maklumat dan rangkaian perniagaan dilantik menerajui Hab Perdagangan Qazaq di Malaysia oleh Kementerian Perdagangan dan Integrasi Kazakhstan. 

 

Hab perdagangan ini merupakan yang pertama seumpamanya di rantau Asia Tenggara dan bakal menjadi pusat sehenti yang komprehensif bagi meningkatkan perdagangan antara Kazakhstan dan Malaysia. 

 

Malah, ia akan menjadi platform penting bagi Kazakhstan untuk menjangkau dan membabitkan negara lain dalam rantau ini sekali gus melonjakkan peluang dan aktiviti perniagaan. 

 

Ridhwan Rosli
Ridhwan Rosli

 

 

Pengarah TMCB, Ridhwan Rosli berkata, syarikat menggabungkan kepakarannya dalam komunikasi dan teknologi maklumat di samping pemahaman pasaran tempatan dan hubungan dengan pihak berkepentingan awam dan swasta untuk merealisasikan kejayaan Hab Perdagangan Qazaq. 

 

Pada masa sama, katanya, kedudukan Malaysia yang strategik sebagai pusat di rantau ini adalah amat penting kepada hab perdagangan tersebut.

 

"Ketika ini, Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Kazakhstan di rantau ini dengan kira-kira RM600 juta setahun.

 

"Dijangkakan dengan adanya hab ini, akan memacu perdagangan dan aliran masuk pelaburan asing ke Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.   

 

Satu perjanjian memorandum kerjasama akan ditandatangani secara maya antara TMCB dengan kementerian tersebut dalam tempoh terdekat yang dijangka disaksikan ketua-ketua pemimpin antara kedua-dua negara. 

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan dan Integrasi Kazakhstan, Assel Zhubanyshevna Zhanassova berkata, penubuhan hab ini membuktikan Kazakhstan terbuka kepada perniagaan dan sentiasa aktif mencari peluang untuk berkembang dan mempelbagaikan dagangan dan pelaburan menerusi kerjasama ekonomi global. 

 

Katanya, Kazakhstan memiliki pelbagai produk, teknologi dan bakat yang boleh ditawarkan kepada Malaysia dan negara jiran lain di rantau ini dan sebaliknya. 

 

"Pertumbuhan eksport dan import antara kedua-dua negara dan rantau ini dapat memberi manfaat kepada ekonomi dan masyarakat masing-masing," katanya.

 

Beliau menambah, dengan mengambil kira kedudukan geografi, Kazakhstan boleh menjadi hab transit antara Asia Tenggara dan Eropah khususnya negara Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU).

 

Transit ini, katanya, membolehkan paradigma perdagangan baharu diwujudkan dan secara tidak langsung menjana peluang pekerjaan, memperkayakan kehidupan dan mendapatkan sumber semula jadi.

 

"Oleh itu, adalah penting untuk bekerjasama dengan rakan kongsi seperti TMCB supaya kami bukan sahaja dapat menambah nilai menerusi hubungan dengan Malaysia dan rantau ini tetapi membawa kelebihan teknologi untuk meletakkan Kazakhstan sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan menarik," jelas beliau. - DagangNews.com