KBS lancar mySukan TV untuk tarik perhatian peminat akar umbi | DagangNews Skip to main content

KBS lancar mySukan TV untuk tarik perhatian peminat akar umbi

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Nov - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif mewujudkan saluran sukan baharu mySukan TV dengan menyajikan pelbagai kejohanan sukan untuk menarik perhatian lebih ramai peminat sukan tanah air di peringkat akar umbi.

 

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, saluran yang dikendalikan Impact Integrated itu adalah sebahagian daripada usaha untuk meluaskan skop program pembangunan sukan akar umbi dari peringkat sekolah hingga antarabangsa dan menjadikannya lebih mudah diakses masyarakat.

 

"Program utama di mySukan TV merangkumi siaran secara langsung perlawanan atau kejohanan sukan akar umbi di Malaysia bagi peringkat sekolah rendah sehingga peringkat antarabangsa, program perkongsian maklumat dan tip (panduan) sukan harian, penerbitan berita serta program bual bicara bersama atlet, jurulatih dan agensi sukan

 

"Pembangunan sukan akar umbi adalah mahal dan kejayaan sesebuah program itu tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan sahaja.

 

"Kerjasama  strategik daripada sektor swasta amatlah diperlukan bukan sahaja sebagai penaja program-program ini, malah berkongsi ilmu dan menyokong program-program kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Impact Integrated, Ahmed Faris Amir berkata, antara fokus utama lain saluran itu adalah memberi pendedahan dan peluang kepada penggiat sukan menjana pendapatan melalui penyiaran acara serta perlawanan sukan secara langsung di laman web mySukan TV atau media sosial.

 

"Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program dan aktiviti mySukan TV boleh melayari laman web www.mysukan.tv atau platform media sosial, Facebook dan Instagram @mysukan.tv, Twitter @MySukan_TV dan YouTube @mySukan TV," katanya.-DagangNews.com