KDEBWM jalankan operasi pembersihan sisa banjir di Hulu Selangor | DagangNews Skip to main content

KDEBWM jalankan operasi pembersihan sisa banjir di Hulu Selangor

SHAH ALAM 17 Mei - KDEB Waste Management (KDEBWM) telah menggerakkan aset-aset dan tenaga kerja di beberapa kawasan sekitar Hulu Selangor yang dinaiki air.

 

Ini berikutan banjir kilat yang telah berlaku susulan hujan berterusan bermula pukul 12 tengah hari sehingga 5 petang semalam.

 

Menurutnya KDEBWM dalam kenyataan hari ini, pihaknya sedang menjalankan operasi pembersihan sisa banjir di beberapa kawasan di daerah Hulu Selangor. 

 

KDEBWM menyediakan beberapa tong roro untuk memudahkan proses kutipan sisa banjir di Stadium Mini Kuala Kubu Bharu, Kampung Air Panas, Kampung Jawa dan Kampung Pasir di Kerling.

 

"Jumlah kutipan sampah setakat pukul 1 tengah hari yang sudah dibawa keluar oleh KDEBWM adalah
sebanyak 12 tan. Sisa banjir penduduk akan dibawa keluar secara berperingkat," katanya.

 

Operasi pembersihan pasca banjir ini dijangka berterusan selama 2 ke 3 hari kerana masih terdapat penduduk yang akan membuang sampah pukal.

 

"KDEBWM bersama-sama Kerajaan Negeri serta Pihak Berkuasa Tempatan akan terus memberi segala usaha dan komitmen dalam menyelesaikan kerja-kerja pembersihan pasca banjir di kawasan terlibat," tambahnya. - DagangNews.com