KDNK Johor dijangka menguncup 3.5% hingga 5.5% | DagangNews Skip to main content

KDNK Johor dijangka menguncup 3.5% hingga 5.5%

Hasni Mohammad


KUALA LUMPUR 10 Sept. - Ekonomi negeri Johor dijangka berada pada tahap penguncupan antara 3.5% hingga 5.5% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kata Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Menurut beliau, kerajaan menganggarkan angka sedemikian berdasarkan beberapa pemerhatian penting yang dibuat terhadap tahap ekonomi negerinya.

"Penguncupan ini disebabkan oleh penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada keseluruhan sektor ekonomi Johor kecuali pertanian.

"Pertumbuhan KDNK Johor pada suku kedua 2020 berkemungkinan lebih merosot berbanding penguncupan di peringkat nasional iaitu 17.1%," jelasnya.

Perkara itu dijelaskan ketika menjawab soalan lisan daripada Raven Kumar (BN-Tenggaroh) pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini.

Tambah beliau, perkara itu juga disebabkan oleh prestasi permulaan ekonomi Johor pada 2020 yang kurang memberangsangan ekoran KDNK pada 2019 hanya berada pada kadar 2.7%.

"Ia pertumbuhan paling rendah dalam tempoh 10 tahun ini yang dipengaruhi oleh momentum yang perlahan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan," tambahnya lagi.

Johor juga mencatatkan peningkatan jumlah pengangguran seramai 173,000 orang.

Menyentuh berkaitan nasib rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, beliau memberitahu, seramai 45,000 hingga 200,000 pekerja dijangka akan diberhentikan.

"Ribuan rakyat Malaysia yang bekerja di sana berkemungkinan besar akan diberhentikan berdasarkan ramalan ahli ekonomi di sana," jelasnya lagi. - DagangNews.com