Kebimbangan semakin meningkat terhadap perubahan iklim, menjejaskan operasi syarikat - laporan Deloitte | DagangNews Skip to main content

Kebimbangan semakin meningkat terhadap perubahan iklim, menjejaskan operasi syarikat - laporan Deloitte

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Jan - Laporan Kelestarian CxO 2022 Deloitte Global mendapati 97% daripada kalangan ketua perniagaan peringkat eksekutif kanan (CxO) menyatakan bahawa syarikat mereka telah terjejas akibat perubahan iklim. 

 

Malah, laporan itu yang bertemakan ‘The Disconnect Between Ambition and Impact’ turut mendapati separuh daripada responden dalam kajian tersebut menyatakan operasi mereka telah terjejas disebabkan gangguan terhadap model perniagaan dan bekalan rangkaian di seluruh dunia. 

 

Selain itu, sebanyak 81% CxO secara peribadi telah terjejas dengan perubahan iklim seperti cuaca panas yang ekstrem, taufan yang buruk dan kebakaran hutan dalam tempoh 12 bulan lalu. 

 

Pada masa sama, kumpulan pemegang kepentingan termasuk pengawal selia, pemegang saham, pengguna dan pekerja, semunya menambah tekanan kepada tindakan.

 

Ketua Perubahan Iklim dan Kemampanan Deloitte Asia Tenggara, Giam Ei Leen berkata, Asia Tenggara sebagai sebuah rantau semakin terdedah kepada perubahan iklim, dan kini adalah masanya untuk bertindak.

 

Katanya, undang-undang berkaitan iklim yang diperkenalkan kerajaan di rantau ini baru-baru ini memainkan peranan penting dalam meletakkan isu tersebut sebagai agenda untuk para CxO.

 

"Trend ini semakin menggalakkan, kerana CxO memainkan peranan penting dalam perniagaan masa hadapan terhadap kesan iklim dan mengurus tekanan daripada pihak berkepentingan.

 

"Jelas sekali bahawa organisasi yang berpandangan jauh dan menggabungkan strategi iklim yang baik dalam dasar mereka bukan sahaja mampu mengelak akibat terburuk daripada perubahan iklim, tetapi ia juga akan membantu membina reputasi yang lebih kukuh sebagai agen perubahan sosial," jelasnya dalam laporan berkenaan hari ini. 

 

Berdasarkan laporan tersebut, dua pertiga daripada CxO mengatakan organisasi mereka telah menggunakan bahan yang lebih mampan dan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.

 

Daripada jumlah itu, lebih separuh memaklumkan organisasi mereka telah menggunakan jentera, teknologi dan peralatan cekap tenaga atau mesra iklim manakala dan majoriti mahu mengurangkan perjalanan udara di samping membimbing pekerja mengenai tindakan mereka berkaitan iklim dan kesannya.

 

Sementara itu, Ketua Pasaran Iklim dan Kemampanan Deloitte, Jennifer Steinmann berkata, masa depan yang lebih baik bergantung kepada perubahan sikap dan tingkah laku yang bersungguh-sungguh dan berkekalan daripada pihak kerajaan, perniagaan dan individu.

 

Ini kerana katanya, perubahan iklim tidak lagi berlaku akan datang atau dalam masa terdekat.

 

“Komuniti perniagaan boleh membantu merangka bentuk kerjasama baharu untuk mengenal pasti idea terbaik, tanpa mengira sumber dan mencipta penyelesaian baharu dan berkekalan yang akan memberi impak terbesar kepada mereka, pihak berkepentingan dan komuniti,” katanya. -DagangNews.com