Kedai Asia, pengeksport pertama durian ke Arab Saudi | DagangNews Skip to main content

Kedai Asia, pengeksport pertama durian ke Arab Saudi

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Warga Arab Saudi tidak lama lagi boleh menikmati keenakan raja buah apabila penghantara pertama durian D24 menggunakan teknik sejuk beku dijangka tiba ke negara tersebut pada minggu ketiga November ini. 

Kedai Asia yang menjadi pengeksport durian Malaysia yang pertama ke Arab Saudi itu membuat penghantaran kontena 20 kaki yang berlepas dari Pelabuhan Klang, 9 November lalu.  

Sebaik sahaja tiba di negara tersebut, durian-durian ini akan terus dihantar kepada para pelanggan dalam talian manakala sebahagiannya pula akan diedarkan ke rangkaian kedai oriental serta edaran kepada rakyat Malaysia di Riyadh melalui Kerjasama MY-Riyadh, persatuan rakyat Malaysia di Riyadh, Arab Saudi.

Menurut Kedai Asia dalam kenyataan, Malaysia sememangnya menjadi antara pemain utama hari ini dan telah mengeksport durian dari jenis varian Musang King dan D24 ke negara seperti China, Australia, Singapura. 

"Tetapi dengan mengeksport ke Arab Saudi adalah suatu perkembangan yang agak luar biasa khususnya bagi negara yang rata-rata masyarakatnya bukanlah pemakan raja buah ini," katanya. 

Arab Saudi sememangnya sudah mengimport buah durian sekian lama dari Thailand dan ada yang dijual di kebanyakan pasar raya utama di negara tersebut. 

Durian juga pastinya pernah dibawa secara bawaan tangan oleh penumpang yang berlepas dari Malaysia ke Arab Saudi khususnya dari kumpulan expatriat Malaysia yang tinggal di sana dalam kuantiti kecil. 

Bagaimanapun durian tidak pernah dieksport secara rasmi melalui pintu pelabuhan negara serta mematuhi semua perundangan dan percukaian perdagangan dan hal ini disahkan oleh bekas Konsul Perdagangan Malaysia di Jeddah,  Khairul Annuar Abdul Halim yang kini merupakan Pengarah Sektor China & Asia Timur di MATRADE.

Apa yang menariknya durian yang telah dihantar ini asalnya adalah inisitatif oleh Kedai Asia bagi membantu rakyat Malaysia yang tinggal di Arab Saudi untuk menghilangkan rasa mengidam durian kerana mereka tidak dapat pulang ke negara disebabkan oleh pandemik COVID-19. 

"Satu program khas telah dilancarkan yang dinamakan COVID-19 Stock Initiative melalui kedai dalam talian di lawan sesawang Kedai Asia, www.kedai.asia pada September lalu. 

"Kami amat teruja kerana pesanan awal yang diterima bukan sahaja daripada expatriat Malaysia, malah dari warganegara lain seperti Jepun, Filipina, Indonesia, Pakistan dan paling menarik apabila ada juga nama-nama warga tempatan orang Arab yang membeli durian," katanya. 

Pada masa akan datang, Kedai Asia berhasrat untuk membawa banyak lagi buah-buahan tropika dari Malaysia selain daripada durian serta produk produk tani yang lain. 

Semua produk ini akan dijual di cawangan pasar mini Kedai Asia yang baru di Jeddah tidak lama lagi.

Kedai Asia pertama dibuka pada 7 Januari 2017 di kejiranan Aziziyah, Jeddah dan ia merupakan kedai runcit pertama anak Malaysia di Arab Saudi serta negara teluk.

Setakat ini, Kedai Asia telah mengeksport lebih 1,000 jenis produk makanan halal dari Malaysia dan membantu lebih 300 syarikat IKS bumiputera dengan memasarkan produk mereka di Arab Saudi. - DagangNews.com