Kedatangan Disney+ Hotstar, siapa yang untung? | DagangNews Skip to main content

Kedatangan Disney+ Hotstar, siapa yang untung?

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 5 Mei - Perkhidmatan penstriman Disney+ Hotstar yang akan dilancarkan 1 Jun ini di Malaysia amat dinanti-nantikan oleh khalayak.

 

Malah, Astro Malaysia Holdings Bhd. dilantik sebagai sebagai pengedar rasmi oleh Walt Disney Company. 

 

Soalnya, siapa yang akan meraih manfaat daripada kedatangan Disney+ Hotstar ini?

 

Bagi Kenanga Research, firma itu melihat perkembangan tersebut adalah positif dan yakin kerjasama dengan Walt Disney berupaya mengembalikan semula para pelanggan Astro yang hilang sebelum ini dan juga memperoleh langganan baharu. 

 

Firma itu menganggarkan kumpulan mempunyai 3 juta pelanggan berbayar yang mana 50% daripadanya melanggan Movie Pack dengan tambahan RM5 langganan bulanan mulai Jun ini dan selebihnya yang tidak melanggan, kira-kira 10% akan menaik taraf pakej mereka.

 

Penganalisisnya, Pritika Modhgil juga menganggarkan ia akan melibatkan kos sekitar RM20 untuk menaik taraf pakej ini termasuk Movie Pack. 

 

"Memandangkan perkhidmatan penstriman ini dilancarkan 1 Jun dan akan memberi impak kepada pendapatan bagi suku kedua tahun kewangan 2022 dan seterusnya, kami percaya kumpulan akan meraih keuntungan tambahan sebanyak RM108 juta. 

 

"Ini secara tidak langsung, akan meningkatkan perolehan bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 masing-masing kepada 6 dan 7%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menerusi pelancaran Disney+ Hotstar oleh Walt Disney Company itu, penonton kini mempunyai satu lagi cara untuk menikmati kandungan menarik daripada jenama hiburan yang paling ikonik di bawah Walt Disney Company termasuk Disney, Pixar, Marvel, Star Wars serta National Geographic.

 

Selain itu, pelbagai siri hiburan dan filem umum bagi khalayak dewasa muda serta karya tempatan dan Asia yang terulung, semuanya menerusi satu platform tunggal.

 

Pengguna boleh melanggan Disney+ Hotstar secara terus dengan harga RM54.90 untuk setiap tiga bulan, atau melalui pakej khas Astro bagi menikmati akses kepada koleksi kandungan yang luas.

 

Semalam, dalam kenyataan Pengurus Besar, Walt Disney Company Taiwan, Hong Kong dan Asia Tenggara, David Shin berkata, pelancaran Disney+ Hotstar di Malaysia menerusi kerjasama dengan Astro, adalah pencapaian bermakna ketika syarikat terus melebarkan sayap di Asia Tenggara.

 

Sementara itu, CGS-CIMB berpendapat, pasaran telah terlepas pandang melihat Media Prima Bhd.  sebagai penerima manfaat yang berpotensi dengan kemasukan Disney+ Hotstar ke Malaysia.

 

Ini kerana katanya, kebanyakan kandungan tempatan yang dimasukkan di dalam langganan perkhidmatan video on demand (VOD) dihasilkan oleh Media Prima Primeworks Studios.


 
"Kami mengesyaki program dan filem ini telah dilunaskan sepenuhnya memandangkan kebanyakkannya adalah kandungan bertarikh. 

 

"Tambahan pula, kebanyakan jumlah bayaran Disney kepada Media Prima bagi kandungan itu secara teorinya akan mempengaruhi pendapatan syarikat," jelasnya. 

 

Firma itu bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap pemilihan Astro sebagai pengedar perkhidmatan itu, memandangkan ia akan mempengaruhi pendapatan syarikat dan masih ada beberapa perkara belum diketahui lagi.

 

Secara teorinya, bayaran tambahan untuk penambahan Disney+ Hotstar akan meningkatkan purata pendapatan setiap pengguna (ARPU) Astro dengan membuat andaian bahawa 20% pelanggannya yang ada mempunyai Movie Pack, ARPU Astro akan meningkat sebanyak RM1 sebulan mulai tahun kewangan 2021 sebanyak RM96.90 sebulan.

 

"Tetapi, unjuran kami bagi ARPU tahun kewangan 2022 ialah RM99.70 sebulan dan menjangkakan sedikit pemulihan memandangkan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyebabkan ramai pelanggan tidak dapat membayar bil tepat pada masanya.

 

"Cuma, yang masih tidak diketahui ketika ini, sama ada Astro akan mengurangkan bil langganannya selepas Disney menghentikan 18 salurannya di Asia mulai Oktober 2021.

 

"Didapati, 11 daripada stesen tersebut merangkumi 8% daripada 138 saluran TV Astro sedia ada. Ia melibatkan purata pendapatan per saluran pada RM1.30 sebulan," katanya.

 

Namun, bagi CGS-CIMB, Astro semestinya dapat menikmati penjimatan kos pada akhirnya apabila 11 saluran yang dimiliki Disney disiarkan.

 

Firma itu juga menyifatkan kedatangan Disney+ Hotstar ke Malaysia adalah rahmat buat Astro dan Media Prima.

 

"Secara kebetulan, kedua-dua saham ini adalah pilihan utama kami untuk sektor ini kerana mereka telah menstruktur semula model perniagaan dan kos setelah terjejas selama sedekad sekitar 2010," tambah firma berkenaan.  

 

CGS-CIMB memberi saranan 'tambah' kepada kedua-dua kaunter ini dengan harga sasaran (TP) RM1.51 bagi Astro dan 88 sen bagi Media Prima. 

 

Kenanga Research pula mengekalkan saranan 'outperform' ke atas Astro dengan TP RM1.12 (berbanding RM1.05 sebelum ini) dan percaya sahamnya akan berdepan risiko penurunan yang terhad memandangkan reaksi pengguna yang lebih positif terhadap strategi terkini dan akan datang yang dirangka kumpulan. - DagangNews.com